GEORGE TOWN, 4 Mac – Kerajaan negeri diminta menambah bilangan
tong sampah di sekitar Lebuh Armenian dan Lebuh Acheh yang terletak dalam
kawasan bandar warisan untuk kemudahan orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Perwakilan Penduduk Pengkalan Kota Lim Swee Bok
berkata pihaknya menerima aduan kebersihan tempat tumpuan pelancong itu kurang
memuaskan terutama pada musim cuti sekolah dan perayaan.

“Terdapat sampah dilonggok merata-rata selain dibuang di dalam longkang. Ini
amat memalukan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata kawasan itu mempunyai banyak lukisan mural menarik seperti
karya 101 Lost Kittens dan ada pengunjung yang memuat naik gambar mereka bersama
sampah di laman sosial sekali gus menjejaskan imej negeri.

Lim yang juga Timbalan Ketua Biro Perhubungan Pemuda MCA berkata
memandangkan cuti sekolah semakin hampir pihak berkuasa tempatan wajar bertindak
lebih cekap dalam menangani isu itu.

Seorang penduduk, Tan Kian Nee, 46, mengakui agak sukar mencari tong sampah
di kawasan itu menyebabkan pengunjung mengambil jalan mudah dengan membuang
sampah di merata-rata.

“Pada hari biasa kawasan ini agak bersih sebenarnya…tapi pada hari cuti
orang ramai datang dan sampah pun banyak,” katanya.-Bernama

LEAVE A REPLY