SABAK BERNAM, 22 Dis – Sita….Resort milik Datuk Seri Jamal Yunos, Sekin Hotel & Resort, disita Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), pagi tadi.

Jamal berkata, tindakan penyitaan itu dilakukan jam 10 pagi itu kerana kerajaan negeri tidak berpuas hati dengan tindakannya memprotes isu berkaitan gangguan bekalan air di negeri ini.

Beliau yang juga Pengerusi Gerakan Baju Merah, berkata perbuatan itu jelas bermotifkan politik semata-mata dan menyifatkan kerajaan negeri menyalahgunakan kuasa mereka dalam melaksanakan tindakan berkenaan.

“Sepatutnya mesej yang saya sampaikan (semalam) itu memberikan peringatan kepada kerajaan negeri supaya menangani masalah ini dengan segera dan mencari jalan penyelesaian, bukannya bermain politik.

“Kakitangan MDSB datang dengan jumlah yang ramai untuk menyita, malah tidak membenarkan resort saya beroperasi seperti sedia kala, sedangkan resort ini sudah empat tahun beroperasi.

“Saya sudah bayar segala-galanya dan ikut syarat yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, tindakan sitaan itu menyebabkan pihaknya terpaksa membatalkan segala tempahan pelanggan yang ingin menginap di resort itu.

Semalam, Jamal hadir ke bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, dengan memakai tuala sebagai tanda protes terhadap kerajaan negeri berkaitan isu bekalan air. – WD MY