SEPANG, MEI 1: Kerajaan negeri Selangor masih belum meluluskan permohonan tanah bagi pembangunan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Perkara ini seolah-olah memberi andaian bahawa kerajaan negeri menidakkan kehendak rakyat untuk mengecapi pembangunan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata setakat hari ini, kerajaan Selangor belum memulakan sebarang proses pengambilalihan semula tanah bagi pembangunan projek berkenaan.

“Mereka (kerajaan Selangor) belum luluskan apa-apa lagi sedangkan kita sudah banyak kali memohon agar disegerakan proses (pengambilan dan kelulusan tanah) itu.

“Seperti semua tahu, kerajaan negeri kalau boleh semua benda ingin dipolitikkan. Kalau dulu isu air dan pendidikan, sekarang ECRL pun mereka mahu politikkan.

“Tindakan mereka seolah-olah mempertikaikan keikhlasan dan kehendak rakyat untuk membangunkan sesuatu kawasan,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Gerakan Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pelek, di sini, hari ini.

Kerajaan negeri seolah-olah memberi gambaran usaha kerajaan dlam membangunkan insfrastruktur rakyat adalah sia-sia.

Menurutnya, beliau mahu pengundi di Selangor memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi memastikan isu pengambilalihan tanah bagi projek ECRL dapat diselesaikan segera.

“Beri peluang kepada kami (BN) dan kami janji akan tadbir Selangor dengan lebih baik,” katanya.

Selangor kini satu-satunya negeri yang belum memberi kelulusan permohonan tanah untuk pembangunan ECRL, sekali gus dibimbangi menjejaskan pelaksanaan projek itu yang dijadualkan beroperasi pada 2024.

Setakat ini, pembangunan projek ECRL yang bermula sejak November lalu itu hanya tertumpu kepada tanah milik kerajaan di Pahang, Kelantan dan Terengganu yang sudah mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak dalam kenyataan sebelum ini bertekad untuk terus berusaha berbincang dengan Kerajaan Selangor supaya ia dapat dimuktamadkan walaupun mungkin mengambil sedikit masa.

Pembinaan ECRL sepanjang 688 kilometer akan menghubungkan negeri-negeri pantai timur dengan fasa pertama membabitkan laluan landasan kereta api elektrik melalui Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor dengan jajaran sepanjang 531.6 kilometer dan jajaran sisihan sepanjang 68.7 km.

Mengikut perancangan, Selangor akan mempunyai laluan paling panjang iaitu 80 kilometer dari Gombak ke Pelabuhan Klang.-MY WD