KUALA LUMPUR 4 Dis. – DITEMPAT….  Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata Kedudukan negara di tangga ke-55 mengikut ukuran skor rasuah oleh Transparency International (TI) perlu dipandang serius dan ditangani bagi memastikan Malaysia berada pada tempat yang lebih baik.

Ahmad Zahid berkata kerajaan sendiri memperakui kedudukan itu bukan sesuatu yang menyenangkan kerana boleh memberi persepsi yang tidak baik terhadap Malaysia, dan sehubungan itu menyeru setiap lapisan masyarakat menyokong Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang gigih membanteras rasuah.

Beliau pada masa sama mengucapkan tahniah kepada SPRM yang bersungguh-sungguh menjayakan kempen membanteras rasuah menerusi pengenalan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang harus disokong oleh setiap agensi dan jabatan kerajaan, korporat, individu serta rakyat.

“Kajian yang dilakukan mendapati kita di tangga ke-55 dan itu bukan sesuatu yang baik kerana boleh menyebabkan persepsi mengenai amalan integriti dipandang rendah.

“Kerajaan sendiri pun mengambil berat perkara ini dan mahu kedudukan Malaysia diperbaiki dan diturunkan,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian 
Sidang Kemuncak Pemerkasaan Generasi Baharu yang diadakan bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 hari ini.

Ahmad Zahid pada masa sama berkata, usaha menangani rasuah dan penyalahgunaan kuasa perlu mendapat kerjasama semua pihak dan kerajaan akan menangani gejala buruk itu tanpa mengira latar belakang politik termasuk daripada parti kerajaan atau pembangkang.

Beliau berkata kerajaan mendukung cadangan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melihat keterlibatan sektor swasta, badan korporat serta individu terutamanya usahawan yang cuba menawarkan rasuah untuk memperlicin urus niaga atau mempermudah perolehan kerja-kerja yang ditawarkan oleh jabatan agensi dan kementerian.

Ahmad Zahid juga mahu pihak berkuasa melakukan pendakwaaan dan mengambil tindakan terhadap sesuatu kes berdasarkan hasil siasatan termasuk melalui maklumat risikan dan bukannya bergantung pada laporan pengadu semata-mata.

“Jangan  hanya mendengar ‘hearsay’ (khabar angin)  atau setiap pemberitaan dalam media atau media dalam talian serta lontaran-lontaran tuduhan menyebabkan tindakan dilakukan,” katanya.

Ahmad Zahid turut menggesa  badan-badan korporat dan swasta supaya melakukan Ikrar Bebas Rasuah seperti yang telah dilaksanakan oleh kementerian, agensi dan jabatan kerajaan untuk bersama-sama menghapuskan jenayah itu. – WD MY