KUALA LUMPUR, 13 Feb – PASTIKAN Kerajaan akan memastikan pendekatan menyeluruh diambil dalam penggubalan dasar demi meneruskan usaha ke arah urbanisasi di Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ini untuk memastikan urbanisasi berkekalan untuk manfaat generasi akan datang yang akan menjadi warga negara, pengurus, majikan dan pembuat dasar.

“Ia sangat mudah untuk melupakan bahawa masalah bandar yang berlaku sekarang disebabkan kekurangan kita pada masa lalu dan satu-satunya cara untuk menangani isu-isu bandar yang dihadapi sekarang ialah bertindak tanpa berlengah lagi hari ini untuk esok yang lebih baik.

“Jika kita mahu berubah ke arah lebih baik, kita perlu melaksanakannya sendiri dengan tidak mengulangi kesilapan yang lalu,” kata beliau pada majlis penutupan Forum Bandar Sedunia Kesembilan (WUF9)  hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar.

Justeru, Ahmad Zahid berkata kerajaan komited untuk menguatkuasakan dan melaksanakan dasar, strategi dan pelan tindakan dalam Dasar Pembangunan Malaysia dan pelan pertumbuhan dengan bantuan kerajaan yang efektif daripada segi kewangan, penyelarasan, tenaga kerja dan jentera.

Beliau berkata kerajaan juga akan memastikan suara rakyat didengar dan perkongsian dibangunkan untuk tindakan yang lebih berkesean dan hasil yang diinginkan untuk kebaikan semua.

Selain itu, Malaysia akan mengutamakan isu-isu bandar dan perubahan iklim tanpa berkompromi mengenai kesamaan luar bandar, perpaduan sosial dan pertumbuhan ekonomi dalam semua sektor.

Malaysia juga akan berusaha untuk memastikan dasar-dasar awam negara, bandar dan pelan serantau membantu bagi menyokong pertumbuhan ekonomi dan pada masa yang sama melindungi penggunaan tanah semulajadi dan pertanian, kata beliau.

“Malaysia tidak akan mengabaikan kawasan luar bandar walaupun memberi tumpuan kepada isu-isu bandar dan urban. Kawasan urban dan luar bandar semakin saling berkait, kawasan luar bandar dimanfaatkan sebagai tempat santai dan rekrerasi pula memainkan peranan penting di kawasan luar bandar, kata beliau.

Beliau berkata terdapat juga tanda-tanda bahawa kepesatan urbanisasi menyebabkan masyarakat lebih menghargai kawasan-kawasan dipenuhi kehijauan yang terletak jauh dari kawasan lingkungan bandar.

Ahmad Zahid berkata Malaysia telahpun mempunyai perancangan ekonomi dan pembangunan fizikal negara serta rangka kerja pembangunan bandar yang menyokong pembangunan mampan, pertumbuhan dan pengurusan bandar.

“Untuk melaksanakan strategi dan program, kami mengukuhkan peranan kerajaan tempatan sebagai jentera kerajaan peringkat ketiga supaya ia lebih inovatif, cekap dan mampu berkolaborasi dan bekerjasama dengan komuniti, sektor swasta serta organisasi dari negara lain, kata beliau.

Mengenai ciri-ciri bagi menggambarkan Malaysia pada 2030, beliau berkata antara lain populasinya akan mencapai kira-kira 36 juta, kadar urbanisasi meningkat kepada 80 peratus, KDNK pada RM2.6 trilion, KDNK per kapita menjangkau lebih RM117,000 dan perdagangan dunia melebihi USD44 trilion. – WD MY