GEORGE TOWN, MAC 15: KERAJAAN…Kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP diingatkan agar tidak mengelirukan rakyat berhubung kecemerlangan pengurusan kewangan kerana hutang kerajaan tersebut dibantu oleh kerajaan persekutuan.

Bendahari Gerakan Pulau Pinang Ng Fook On berkata kerajaan DAP berulang-kali mengelirukan rakyat bahawa kadar hutang negeri itu yang terendah dalam kalangan negeri-negeri disebabkan pengurusan kewangan mereka yang bagus.

Katanya apa yang dinikmati penduduk Pulau Pinang sekarang adalah kerana kerajaan persekutuan telah mengubah hutang air negeri yang berjumlah RM655.24 juta kepada 45 bayaran pajakan tahunan sebanyak RM14.56 juta.

“Jika tanpa bantuan kerajaan persekutuan, hutang negeri kita pada penghujung 2016 bertambah kepada RM721.57 juta,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Ng berkata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng suka bermegah bahawa hutang Pulau Pinang telah berkurangan 90 peratus sejak mereka mengambil alih tampuk pentadbiran kerajaan negeri pada 2008 tanpa mengakui peranan kerajaan persekutuan dalam hal itu. -MY WD