PASIR MAS, 5 Jan – Langkah Jangka Panjang……. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi berkata kerajaan negeri Kelantan dan Persekutuan perlu bekerjasama
secara holistik mencari langkah jangka panjang bagi menangani masalah banjir
yang berlaku saban tahun di negeri ini.
Ahmad Zahid berkata beliau harap kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri
Besar Datuk Ahmad Yakob dapat berlapang dada dan berfikiran terbuka dalam
menyelesaikan masalah tersebut bagi membantu meringankan beban rakyat yang saban tahun terpaksa berdepan dengan musibah berkenaan.

“Cara terbaik paku alam iaitu hutan, sungai dan gunung-ganang hendaklah
dipertahankan.Oleh yang demikian kita harap jalinan kerjasama antara kerajaan
Persekutuan dan kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah banjir secara
holistik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika melawat 1,441 mangsa banjir
daripada 653 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Sekolah
Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 2 di sini, hari ini.
Sementara itu, menjelaskan lebih lanjut ketika ditemui media, Ahmad
Zahid berkata beliau akan mengarahkan Mustapa dan Shahidan agar duduk semeja
dengan Ahmad bagi memperincikan bentuk koordinasi yang boleh dilakukan antara
kerajaan negeri dan Persekutuan dalam menangani masalah banjir di Kelantan.
“Saya minta Datuk Seri Mustapa dan Datuk Seri Shahidan untuk bersama-sama
dengan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Ahmad Yakob dan mencari jalan
dengan mengadakan mesyuarat memperincikan apakah koordinasi yang dapat
dilakukan.

“Bukan hanya dari segi bantuan ketika banjir dan pasca banjir tetapi
penyelesaian jangka panjang harus dicari sebagai tanda istiqamah dan komitmen
dalam bentuk tabayun antara kerajaan negeri dan juga kerajaan Persekutuan,”
katanya.

Ahmad Zahid berkata berkata antara langkah awal yang dapat dilakukan oleh
kerajaan negeri dalam menangani bencana banjir di negeri ini adalah dengan
melaksanakan penebangan hutan secara berstruktur dan terpilih, selain
mengurangkan aktiviti pembalakan untuk dijadikan kawasan ladang.
Beliau berkata kegiatan pembalakan hanya akan menyebabkan hakisan tanah yang
mengundang kepada berlakunya dasar sungai yang cetek, sekali gus akan
meningkatkan perbelanjaan kerajaan Persekutuan dalam menjalankan projek
mendalamkan dasar sungai.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid turut menafikan kejadian banjir
yang berlaku di selatan Thailand ketika ini menjadi penyumbang kepada bencana
sama yang berlaku di Kelantan ketika ini.
“Siasatan telah dilakukan dan didapati bahawa masalah hujan lebat juga
berlaku di kawasan mereka (Thailand) dan berlaku juga kenaikan paras air di
sungai-sungai di Thailand.
“Maka saya fikir tuduhan itu tidak betul dan kita telah mendapat kerjasama
cukup baik daripada kerajaan Thailand khususnya gabenor di wilayah-wilayah di
selatan Thailand, dan kita harap perkara ini dapat diperbetulkan laporannya.
Terdahulu dalam ucapannya itu, Ahmad Zahid turut berkata beliau akan memohon
kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membeli lapan bot amfibia
untuk ditempatkan di Kelantan dan Terengganu.
Dalam masa yang sama beliau akan mengarahkan Panglima Angkatan Tentera
Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor untuk menghantar lori
jenis tetra bagi membantu usaha menyelamatkan mangsa banjir di kawasan yang terjejas dengan bencana itu. РWD MY