BACHOK, MAC 23 :KERAJAAN….Kerajaan persekutuan memperuntukkan RM853,798 untuk membantu petani di kawasan Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin Semerak yang terjejas akibat banjir tahun lepas.

Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Bachok Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata bantuan itu akan diagihkan kepada 566 petani di Pasir Puteh dan 239 petani di Bachok bagi meringankan beban perbelanjaan apabila tanaman padi yang mereka usahakan rosak.

“Petani terbabit akan menerima bantuan antara RM800 dan RM1,800 berdasarkan jumlah kerugian yang dialami bagi meringankan beban dan menampung kos sara hidup keluarga mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Bencana Banjir di Pejabat IADA Gunong di sini, semalam.

Sementara itu, seorang penerima bantuan Mohamad Mustapa, 57, berkata bantuan itu dapat digunakan bagi menampung kerugian tanaman padi yang rosak akibat dilanda banjir.

“Selain boleh dijadikan modal pusingan untuk mengusahakan tanaman padi musim ini, bantuan itu juga dapat meringankan beban keluarga terutama perbelanjaan persekolahan anak-anak,” katanya. – MY WD