ALOR SETAR, 24 Feb – TERUSKAN….Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Kedah menunjukkan pemuafakatan memberangsangkan dari aspek pentadbiran, politik dan rakyat yang menjadikan tiga elemen itu asas penting yang digabungkan sehingga memberi kesan besar kepada pembangunan negeri.

Kerajaan akan terus menyokong kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dalam meneruskan kesinambungan pembangunan Kedah, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat.

Katanya, hubungan erat lebih 35 tahun sebagai rakan peribadi di antara Ahmad Bashah dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan terus dimanfaatkan bagi membolehkan Kedah terus ke hadapan dalam semua aspek termasuk peruntukan yang berterusan.

Melihat kepada usaha yang dilaksanakan Ahmad Bashah, beliau akan terus membantu bagi membolehkan Kedah terus mendapat keutamaan dan berada di barisan hadapan untuk dimajukan.

“Saya sudah turun ke Kedah tidak kurang lima kali… apa yang saya dapat lihat Kedah terus membangun dengan usaha kerajaan negeri dengan dibantu dan didokong Kerajaan Pusat.

“Inilah yang kita mahukan kerana Ahmad Bashah seorang pemimpin yang turun ke bawah untuk merasai denyut nadi rakyat. Maka, Perdana Menteri dan saya akan terus membantu beliau.

“Kemajuan yang dikecapi Kedah adalah bukti yang jelas diperlihatkan, maka amat rugilah jika tiada kesinambungan pentadbiran Kedah ini.

“Semua pihak terutama rakyat Kedah dan semua agensi kerajaan harus terus memberi sokongan supaya apa yang dirancang, dapat dilaksanakan,” katanya ketika merasmikan Ekspo Muafakat Kedah di pekarangan Stadium Darul Aman hari ini.

Turut hadir, isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan isteri, Datin Seri Hizam Awang Ahmad.

Ahmad Zahid berkata, dalam menterjemahkan pembangunan dan kemajuan, perlu ada pertimbangan antara kawasan bandar, luar bandar dan pinggir bandar.

Katanya, walaupun Kedah menjadi negeri yang menyumbang sumber makanan negara sebanyak 37 peratus, Kerajaan Persekutuan tidak akan lupa untuk membangunkan negeri jelapang padi ini untuk maju dalam sektor teknologi tinggi.

“Usaha ini dapat diperlihatkan melalui peruntukan yang terus bertambah bukan saja melalui peruntukan sedia ada tetapi dalam Rancangan Malaysia Ke-11, malah turut disebut dalam Bajet 2018.

“Kedah akan terus diberi keutamaan kerana Perdana Menteri dan saya akan terus membantu tetapi dengan syarat kita (Barisan Nasional) memperoleh mandat yang lebih besar pada pilihan raya umum akan datang.

“Lihat saja di Kedah, pelbagai projek mega sedang dilaksanakan dan juga dalam penelitian untuk dilaksanakan. (Tetapi) Perancangan ini juga dapat dilaksanakan jika rakyat Kedah terus memberi sokongan kepada kerajaan negeri,” katanya.

Mengenai Ekspo Muafakat Kedah, Ahmad Zahid berkata, kerajaan negeri berjaya menganjurkan program yang besar dan tersohor.

“Ia juga membuktikan dalam tempoh singkat, pentadbiran Ahmad Bashah memperlihatkan kemajuan dan pembangunan yang rancak di negeri ini.

“Ini memperlihatkan kepada kita semua bahawa iltizam dan komitmen kerajaan negeri amat jelas dan boleh dilaksanakan,” katanya. – WD MY