PEKAN,SEPTEMBER 23:MUNAFIK…. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersikap munafik kerana tidak menepati janji yang dibuat mereka sendiri sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kata Datuk Seri Najib Razak.

Bekas perdana menteri itu berkata, sikap ditunjukkan mereka juga seolah-olah tidak berkeinginan untuk melaksanakan manifesto yang mereka tawarkan kepada rakyat.

“Kalau dipandang dari sudut agama, tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu apabila dia berbicara dia dusta, apabila dia berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati.

“Maknanya, mereka menawarkan pelbagai janji manis ketika (berkempen) PRU-14 dan akhirnya kita boleh lihat rata-rata rakyat meluahkan rasa kekecewaan kerana semuanya hanya tinggal janji sahaja,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kenduri Sekampung dan Gotong-royong Memasak Bubur Asyura di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Panjang, dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Seri Zamri Ramly; Naib Ketua UMNO Bahagian, Datuk Khairuddin Mahmud; dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, Datuk Seri Sh Mohamed Puzi Sh Ali.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan sumbangan kepada tujuh keluarga yang terbabit dalam kejadian ribut pada 7 September lalu.

Beliau turut memaklumkan akan mencari dana bagi menyiapkan projek pembinaan Masjid Pasir Panjang yang sudah diluluskan sebelum PRU-14 lalu.-MY WD