HULU LANGAT, 26 Feb – CADANG…Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mencadangkan satu klinik kesihatan baharu dibina di Semenyih, bagi mengatasi kesesakan kemudahan sedia ada di kawasan itu.

Katanya, pembinaan klinik itu akan dipertimbangkan sekiranya Klinik Kesihatan Semenyih tidak boleh lagi diperbesarkan atas faktor ketiadaan ruang.

Katanya, Klinik Kesihatan Beranang dan Hospital Kajang juga akan turut ditambah baik, di samping pembinaan Kompleks Wanita dan Kanak-Kanak Kajang yang dibina sejak tahun lalu.

“Klinik Kesihatan Semenyih ini tahapnya kira-kira 400 pesakit sehari. Sudah dibina sejak awal 1970-an dan untuk diperluaskan di situ pun dah tak boleh sebab kekangan tempat.

“Klinik sangat penting. Jadi saya mencadangkan untuk membina satu lagi klinik.

“Saya akan pertingkatkan fasiliti kesihatan, khususnya untuk rakyat Semenyih dengan mengembangkan klinik Semenyih. Dan, kalau tak boleh diperluaskan, kita buat di tempat yang lain,” katanya malam tadi.

Beliau mengulas mengenai kenyataan calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Muhammad Aiman Zainali serta Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang tegas untuk memperjuangkan pembinaan Hospital Semenyih.

Sebelum ini, Muhammad Aiman dilaporkan mahu memperjuangkan pembinaan Hospital Semenyih, namun Dr Dzulkefly menegaskan janji itu tidak wajar dibuat dan penambahbaikan fasiliti kesihatan sedia ada lebih wajar.

Ditanya mengenai perubahan pendirian itu, Dzulkefly menegaskan cadangan pembinaan klinik dan penambahbaikan fasiliti sedia ada itu, selari dengan jawapannya sebelum ini yang sedia mengambil kira pandangan Muhammad Aiman.

“Ketika itu belum saya bincangkan. Hari ini, sesudah berbincang dalam mesyuarat pasca Kabinet, dan selepas bertemu Menteri Besar Selangor, Ketua Pengarah Kesihatan negeri, semua ini beri laluan untuk saya merancang penambahbaikan klinik,” katanya. -WD MY