SHAH ALAM,OKTOBER 7:KERAJAAN PH… Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa kerajaan hari ini flip-flop (berdolak- dalih) dalam membuat keputusan.

Mengambil contoh dalam dasar pengambilan pekerja asing yang mempunyai implikasi besar kepada semua sektor industri di negara ini beliau berkata, kerajaan pada mulanya mengharamkan tukang masak warga asing tetapi tidak sampai sehari Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran kata ia hanyalah cadangan.

Malah katanya, Kula Segaran sebelum ini juga pernah berkata kemasukan pekerja asing perlu dihentikan, tetapi menukar nada dengan menyatakan kerajaan memberi jaminan pekerja asing tidak akan menjejaskan pekerjaan orang tempatan.

“Ingat lagikah apa yang berlaku kepada pengumuman projek-projek rakyat seperti projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan lain-lain. Bercampur aduk kenyataan dikeluarkan.

“Kita akan batal. Tidak, tidak, kita sedang kaji. Kemudian kata keputusan telah dicapai, kita tangguh. Selepas itu kata tidak ditangguhkan, kita teruskan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.

Menurutnya, sehingga hari ini masih ada projek kerajaan yang tidak ada keputusan dan panduan hala tuju jelas.

“Penjawat awam, pengusaha projek, kontraktor, rakyat, malah sebilangan besar pemimpin juga tidak tahu apakah keputusan muktamad dan langkah seterusnya.

“Ada pengusaha yang perniagaan mereka bagaikan telur di hujung tanduk dan ramai pekerja yang bakal kehilangan nafkah hidup akibat kerajaan hari ini. Terlalu banyak berdolak- dalih,” katanya.

Najib berkata, tindakan flip-flop terhadap perjanjian telah mengakibatkan kerajaan hilang kredibiliti dan berlakunya aliran keluar dana asing.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PH menjaja idea pendidikan percuma dan pemansuhan hutang Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) namun ia tidak berlaku sehingga sekarang.

“Selepas jadi kerajaan, terkejut saya apabila baca kenyataan menterinya menghina pelajar, meminta mereka bersikap amanah dan buat bayaran balik dengan segera.

“Sedar tak sedar, saya baca dari Twitter semalam ada ura-ura telah berlaku kenaikan yuran universiti tertentu (tidak ada pengumuman tetapi dibuat secara senyap-senyap),” katanya.

Tambahnya, ada juga kenyataan kerajaan menghalang pemberian visa dan pemilikan hartanah oleh warga seolah-olah tidak mengalu-alukan bukan warganegara.

“Flip-flop, sehari dua kemudian jelaskan bahawa bukan warganegara dialu-alukan sebagaimana di bawah syarat pemilikan hartanah sedia ada dan skim Malaysia My Second Home,” jelasnya.

Najib turut mendakwa, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng adalah raja flip-flop kerana kesilapan demi kesilapan dilakukan dalam laporan berkaitan angka kewangan dan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“Menteri Kewangan kita ini yang seolah-olah ketagih perhatian baru-baru ini mengumumkan bayaran levi akan ditanggung kebanyakannya oleh pekerja asing. Hari keesokannya, kata pula kerajaan akan kembali ke struktur lama di bawah tanggungan majikan,” katanya.-MY WD