KUALA LUMPUR, 17 OKT – DASAR…. Dasar Pengangkutan Negara (DPN) 2019-2030 adalah hala tuju baharu Malaysia dalam membangunkan sektor pengangkutan yang cekap, bersepadu dan mampan, sekaligus memacu pertumbuhan ekonomi dan menyokong kesejahteraan rakyat seiring dengan status negara maju.

Dasar yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menggariskan lima teras dasar dan 23 strategi khusus dalam menyediakan sistem pengangkutan yang pintar, ketersambungan, mudah dan selamat serta memenuhi keperluan rakyat.

Ia dapat bertindak sebagai teras dasar untuk melonjakkan negara dalam aspek logistik dengan penambahbaikan sektor jalan, rel, udara dan maritim serta ketersambungannya di antara satu sama lain bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah Pusat Pengedaran Serantau.

Mengambil kira sektor pengangkutan yang menjadi tulang belakang kepada pertumbuhan ekonomi negara, dasar itu juga dapat menyumbang dalam aspek ekonomi serta menjadikan Malaysia kekal mesra perniagaan dan mampu menjadi pesaing global dalam industri pengangkutan.

Melalui perutusan dalam buku dasar itu, Dr Mahathir berkata ia digubal untuk menyediakan teras dasar dan strategi untuk mempertingkatkan daya saing ekonomi, memastikan keterangkuman dan kebolehcapaian, serta pada masa yang sama mengurangkan impak negatif sistem pengangkutan kepada alam sekitar.

Dasar itu juga akan memanfaatkan perkembangan pesat teknologi dalam Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) untuk menggalakkan peralihan modal kepada pengangkutan awam selain menangani isu kebolehcapaian pengangkutan oleh orang kurang upaya dan penduduk luar bandar.

“Melalui perancangan strategik, kerjasama pintar dan komitmen semua pihak dalam melaksanakan dasar ini, saya yakin Malaysia akan mampu menyediakan sistem pengangkutan mampan yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan menyokong kesejahteraan rakyat,” katanya.

Lima teras dasar DPN adalah Memperkukuh tadbir urus ke arah persekitaran yang kondusif bagi sektor pengangkutan; Mengoptimum, membina dan menyelenggara infrastruktur, perkhidmatan dan rangkaian pengangkutan untuk memaksimumkan kecekapan dan Meningkatkan aspek keselamatan, integrasi, ketersambungan dan kebolehcapaian bagi melancarkan perjalanan.

Dua lagi, Melangkah maju ke arah ekosistem pengangkutan hijau dan Memperluas jejak global dan mempromosikan pengantarabangsaan perkhidmatan pengangkutan

Antara inti pati utama strategi di bawah kelima-lima teras itu adalah Meningkatkan kecekapan proses pelepasan kargo oleh agensi-agensi logistik; Meningkatkan daya saing perkhidmatan kargo udara bagi menyokong usaha Malaysia menjadi pusat pengedaran serantau; Mempercepatkan pelaksanaan inisiatif mobiliti rendah karbon; Memperkukuhkan rejim penyelenggaraan bagi infrastruktur dan Meningkatkan penggunaan perkhidmatan kereta api untuk penumpang dan barangan. – WD MY