ALOR SETAR, 26 JULAI – LANTIK…. Seramai 32 individu dilantik sebagai Penyelaras Kepenggunaan Parlimen Zon Utara untuk memberikan penjelasan kepada masyarakat berhubung isu kepenggunaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, mereka yang dilantik itu juga bertindak sebagai perantara dengan kementeriannya, seterusnya akan bertanggungjawab membantu melaksanakan program kepenggunaan dan melapor setiap aduan masyarakat untuk tindakan susulan.

“Penyelaras kepenggunaan perlu mempersiapkan diri dengan maklumat asas antaranya dasar dan peraturan yang ada dalam bidang kuasa kementerian.

“Lantikan yang dibuat berperanan bagi meningkatkan kekuatan 2,300 penguatkuasa yang sedia ada, dan sentiasa melakukan pemantauan secara berterusan.

“Mereka juga diminta fokus kepada isu berkaitan pengguna antaranya kos sara hidup, transaksi atas talian, program Food Bank, subsidi petroleum dan advokasi kepenggunaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan watikah lantikan kepada penyelaras kepenggunaan semalam.

Saifuddin berkata, proses lantikan penyelaras kepenggunaan akan diteruskan ke negeri selain Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. – WD MY