KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mencari jalan untuk membantu peserta dan peneroka FELCRA Berhad (FELCRA) yang kini terbeban kesan peninggalan legasi kepemimpinan terdahulu agensi berkenaan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata beliau baru sahaja menerima permohonan daripada FELCRA berhubung suntikan modal untuk membantu agensi itu.

Katanya, beliau akan mengemukakan perkara itu untuk perhatian Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk dipertimbangkan.

“Pihaknya akan memulakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan supaya bantuan dapat diberikan kepada peserta FELCRA.

“Kita akan pastikan peneroka tidak dibebankan dengan masalah kewangan agensi itu dan kita akan mencari penyelesaian dalam waktu terdekat,” katanya ditemui pada Majlis Iftar Ramadan RISDA di ibu pejabatnya di sini, malam ini.

Mohamed Azmin berkata demikian mengulas rayuan peserta FELCRA supaya kerajaan menyuntik dana berjumlah RM930 juta bagi membantu mereka yang kini hidup ibarat ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

Semalam, tiga wakil bagi pihak 120,000 peneroka FELCRA meminta suntikan dana meliputi RM850 juta bagi bayaran dividen kepada peserta dan hutang kontraktor serta koperasi yang tertunggak, selain RM80 juta lagi untuk 21,519 peserta yang tidak mendapat elaun sara hidup sejak Ogos tahun lalu.

Mohamed Azmin berkata, memandangkan permohonan itu baru diterima maka ia mengambil sedikit masa serta bergantung kepada kedudukan kewangan negara.

“Kita harus terima hakikat peneroka kini tertekan dan sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita akan mencari jalan menyelesaikannya.

“Namun, sukar untuk saya berikan tarikh bila bantuan ini dapat disalurkan kerana perbincangan baru saya mahu dimulakan,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya isu FELCRA hampir sama seperti dialami Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) tetapi kerajaan tidak akan mengeluarkan kertas putih.

“Apa pun kita perlu lihat masalah FELCRA ini dengan rasa tanggungjawab dan berusaha memberi bantuan sebagaimana dinyatakan Perdana Menteri bahawa peneroka akan dibantu selagi kita mampu,” katanya.

Ditanya mengenai bantuan atau duit raya untuk pekebun kecil RISDA, Mohamed Azmin berkata, kerajaan merasakan dengan harga getah yang semakin baik iaitu RM6.15 maka bebanan pekebun kecil dapat dikurangkan dan mereka boleh berdikari.

Katanya, tambahan pula kerajaan baru saja memberi bantuan kepada pekebun kecil untuk bantuan musim tengkujuh.

Beliau menjelaskan, kerajaan kini sedang berusaha supaya pekebun kecil tidak bergantung kepada satu hasil tanaman sahaja sama ada kelapa sawit dan getah.

“Pekebun kecil tidak boleh bergantung kepada hasil sawit dan getah sahaja, lagi pun pasaran antarabangsa komoditi itu tidak menentu. Jadi mereka perlu meneroka hasil tanaman ‘cash crop’ (tanaman kontan) yang lain memberi hasil lebih cepat.

“Untuk itu, kerajaan sudah mengadakan perbincangan strategik dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi memberi latihan kepada pekebun kecil menggunakan teknologi jentera moden dan baharu bagi meningkat hasil dan ceburi bidang pertanian baharu yang memberikan hasil lebih cepat, pasaran stabil dan hasil lebih banyak,” katanya.

Dalam masa yang sama jelasnya, konsep bank tanah yang mana idea itu sedang dilaksanakan FELDA turut diguna pakai bagi membantu peneroka FELCRA dan pekebun kecil RISDA yang mana tanah di kawasan tanah rancangan terbiar dan sedia ada dibangunkan untuk tanaman jangka pendek yang beri hasil lumayan.

“Perkara ini sudah dimulakan di FELDA dan kita kenal pasti banyak tanah boleh dibangunkan seperti di Bentong (Pahang) kita bangunkan projek tanaman halia dan durian.

“Ini bukan saja beri pendapatan kepada pekebun kecil dan peneroka tapi mengatasi masalah kebergantungan kepada bahan makanan import yang mencecah RM60 bilion setahun,” katanya.

Mengulas jangkaan ekonomi Malaysia bakal terkesan perang perdagangan China dan Amerika Syarikat, katanya Malaysia perlu menjadikan perang perdagangan itu sebagai peluang baharu untuk meneroka pasaran Asia Tenggara.

“Banyak negara kini mengintai pasaran Asia Tenggara yang mempunyai 650 juta penduduk, dan inilah masa Malaysia tonjolkan kemampuan menjadi ‘gateway’ atau laluan masuk perdagangan ke Asia Tenggara.

“Malaysia ada potensi kerana kita ada kemudahan infrastruktur yang lengkap selain modal sumber manusia dan tenaga kerja mahir yang ramai,” katanya. – WD  MY