JITRA, 27 JULAI – NAFI…. Kerajaan PH menafikan pengembara solo wanita tidak selamat berada di negara ini seperti yang didedahkan oleh blog pengembaraan bebas berpangkalan di Australia, Asher & Lyric.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata laporan blog pengembaraan terbabit dianggap sengaja mahu memburukkan negara, terutamanya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Selama ini, saya tidak terima aduan bahawa pelancong solo ke negara ini dilanda masalah, ia hanya tindakan untuk memburukkan Malaysia.

“Siapa yang pernah datang Malaysia akan tahu negara ini selamat untuk dikunjungi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Temasya Oghang Kedah di Dataran Sungai Korok, hari ini.

Minggu lalu, blog pengembaraan terbabit meletakkan Malaysia dalam senarai negara ketiga paling teruk di Asia untuk pengembara solo wanita selepas menerima skor rendah dalam kategori keganasan pasangan intim dan isu berkaitan ketidaksaksamaan jantina.

Mohamaddin berkata, sebagai menjamin keselamatan pelancong, pihaknya berbincang bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menempatkan lebih ramai polis pelancong sebagai persediaan menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2020.

Katanya, kehadiran polis pelancong dilihat sebagai keperluan bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pelancong sepanjang berada di dalam negara ini.

“Polis pelancong ini akan ditempatkan di bandar raya besar seperti di Kuala Lumpur dan tempat yang menjadi tumpuan pelancong, dan mereka akan membawa imej Malaysia di mata dunia.

“Negara kita sememangnya selamat untuk dikunjungi, tetapi dengan adanya polis pelancong ini, pelancong akan lebih selesa,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada majlis sama berkata, kerajaan negeri belum bersedia menganjurkan Tahun Melawat Kedah dalam tempoh masa terdekat berikutan bajet yang terhad.

Bagaimanapun, pihaknya sentiasa bersedia menarik kedatangan pelancong yang lebih tinggi ke Langkawi dan destinasi lain di negeri ini menerusi produk seni dan budaya. – WD MY