Baling, 3 MAC – NASIB…. Selepas lebih 40 tahun Demonstrasi Baling diadakan akibat kebuluran di daerah ini pada 1974, isu kemiskinan dan kejatuhan harga getah masih membelenggu penduduk kawasan luar bandar itu.

Sehingga kini, majoriti penduduk yang bekerja sebagai penoreh getah dan menjadi petani masih bergelut demi mencari sesuap nasi untuk dibawa pulang kepada isteri dan anak-anak di rumah.

Kehidupan bagi lebih 133,000 penduduk daerah yang terletak kira-kira 110 kilometer dari Alor Setar itu, masih boleh diibaratkan umpama ‘kais pagi makan pagi’, malah keadaan mereka lebih teruk setiap kali musim hujan.

Tinjauan BH baru-baru ini, mendapati kebanyakan penduduk masih bergantung kepada hasil getah demi kelangsungan hidup berikutan kawasan itu masih tidak mempunyai sektor ekonomi lain.

Lebih menyedihkan apabila penduduk berkenaan tidak memiliki kebun getah sendiri, sebaliknya menoreh secara sistem pawah menyebabkan hasil jualan terpaksa dikongsi bersama pemilik kebun.

Jalan masuk ke Kampung Padang Lalang, Mukim Siong.

Harga getah tak stabil

Masalah timbul apabila harga getah tidak stabil sehingga pernah jatuh ke paras RM1.90 satu kilogram pada tahun lalu, sebelum harganya kembali naik kepada RM2.20 ketika ini.

Pengumuman Kerajaan Persekutuan yang menetapkan harga siling getah kepada RM2.50 juga tidak langsung membantu golongan berkenaan kerana mereka sukar mendapat subsidi berkenaan.

Keadaan ini menyebabkan penoreh pawah hanya mampu meraih pendapatan antara RM400 hingga RM600 sebulan bergantung musim, sekali gus meletakkan mereka dalam kelompok miskin tegar.

Berikutan itu, adalah tidak mengejutkan apabila Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun, mengumumkan Baling bersama Sik dan Yan dikategorikan sebagai kawasan termiskin di negara ini.

Bekas pemimpin masyarakat Kampung Charok Bunting, Siong, Abdullah Sharif, 61, berkata pengalaman menyertai demonstrasi pelajar pada 1974 masih segar dalam ingatannya, walaupun ketika itu beliau berusia awal 20-an.

Katanya, tidak dapat dinafikan penduduk Baling sekitar 1970-an berada dalam keadaan daif, malah sehingga untuk mengebumikan jenazah mereka terpaksa meminjam wang bagi membeli kain kafan.

“Saya masih ingat demonstrasi itu dipimpin kumpulan pelajar dari Kuala Lumpur diketuai Anwar Ibrahim (kini Datuk Seri) yang mengajak penduduk keluar berarak beramai-ramai bermula dari Kampung Baru, Siong.

Lapar tiada makanan

“Ketika itu, kami memang tidak ada makanan dan sentiasa lapar menyebabkan lebih 20,000 penduduk termasuk kanak-kanak, wanita dan golongan tua keluar berjalan kaki sehingga ke Pejabat Daerah Baling,” katanya ketika ditemui.

Difahamkan, ketika itu penduduk Baling berdepan masalah kejatuhan harga getah kepada 15 sen sekati berbanding antara 25 sen hingga 60 sen sekati, menyebabkan mereka terpaksa mengutip ubi gadung sebagai ganti beras.

Bagaimanapun, Abdullah berkata, sepanjang tempoh kejatuhan harga getah pada 1974 itu, tidak ada penduduk yang mati kebuluran kerana sumber makanan lain sentiasa ada di kawasan sekeliling.

“Akibat tidak mempunyai wang, ramai penduduk terpaksa masuk ke hutan bagi memburu haiwan atau mencari ubi gadung sehingga timbul cerita ada orang kampung mati akibat keracunan.

“Tetapi apa yang sedih keadaan kami ketika ini tidak jauh berbeza berbanding 1974. Untuk kata penduduk kebuluran memang tidak, tetapi kami memang tidak kaya kerana rezeki yang ada hanya cukup-cukup makan,” katanya.

Perkara sama dikongsi bekas pemimpin Kampung Lalang, Siong, Hamid Abu Hassan, 65, yang menganggap penduduk Baling sudah sinonim dengan belenggu kemiskinan sejak sebelum 1974.

Kedai kayu yang masih terdapat di Pekan Kampung Lalang.

Bekerja keras cari rezeki

Katanya, untuk mengatakan penduduk Baling yang majoritinya adalah Melayu sebagai malas sehingga menjadi miskin adalah tidak tepat, kerana mereka sanggup melakukan apa sahaja bagi mencari rezeki.

“Selain menoreh getah, ada penduduk masih ke hutan mencari rotan, malah kami sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan termasuk menjadi pekerja pembinaan di kawasan sekitar.

“Tetapi apa sangat pekerjaan yang ada di Baling, pembangunannya boleh dikatakan agak perlahan berbanding tempat lain cuma mujur kemudahan awam di sini dalam keadaan baik,” katanya.

Disebabkan itu, Hamid berharap Kerajaan Persekutuan tidak meminggirkan daerah itu dari aspek pembangunan kerana penduduk masih berharap kepada bantuan demi kelangsungan hidup.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun sebelum ini dipetik berkata, kementeriannya sedang merencana pelbagai program merangkumi pembangunan infrastruktur, peningkatan pendapatan serta pendidikan bagi membantu 28 daerah termiskin di negara ini.

Antara daerah dikenal pasti ialah Yan, Baling dan Sik di Kedah, Tumpat di Kelantan serta beberapa daerah di Sabah dan Sarawak yang mendominasi angka daerah termiskin itu.

Alias Wan Daud dan isteri, Shazmiza Azmi mendukung anak di depan rumah mereka di Kampung Charok Bakong Dalam Wang. –

INFO

 

  • – 12,300 penoreh getah pawah
  • – RM400 hingga RM600 pendapatan bulanan
  • – RM2.20 satu kilogram getah
  • – 30 sen subsidi Kerajaan Persekutuan.

 

Sardin umpama hidangan mewah

Baling: Hanya RM1.10 sekilogram. Itu bayaran yang diterima seorang penoreh yang terpaksa memerah keringat dari pagi hingga tengah hari di kebun getah yang dipawah mereka.

Dengan harga serendah itu, kira-kira 12,300 penoreh pawah terpaksa mengikat perut dan perlu berhutang bagi membeli makanan setiap hari.

Bagi mereka, sayur tauge sudah menjadi juadah harian selain pucuk pelam yang dikutip sekitar rumah.

Beli keperluan secara hutang

Hidangan sardin pula umpama makanan mewah, itupun terpaksa dibeli secara hutang dan bagi menikmati lauk ayam atau daging ia sekadar mimpi.

Itu realiti dihadapi Anuar Abdullah, 49, yang tidak mempunyai pilihan selain meneruskan kerja yang sudah sebati dengannya sejak lebih 20 tahun lalu, demi menyara isteri, Zarini Ghazali, 36, dan enam anak berusia antara tujuh bulan hingga 17 tahun.

Dia yang bekerja sebagai penoreh dan bertukang rumah turut mengakui, lima anaknya tidak makan di sekolah kerana tidak diberikan wang belanja, malah tidak membawa apa-apa bekalan kerana mereka tidak mempunyai makanan lebih di rumah.

“Kalau ada duit saya bagi, kalau tak ada duit memang ke sekolah tak bawa apa-apa. Bekal makanan pun tak bawa macam puasa mereka selalu.

Anuar Abdullah sedang menoreh getah di kebun sewaannya di Kampung Baru, Dalam Wang.

Guna hasil diterima untuk belanja harian

“Apa yang saya usahakan setiap hari hanya untuk kegunaan hari itu sahaja, untuk menyimpan memang tiada. Apa yang akan terjadi pada masa depan kami saya pun tidak tahu,” katanya ketika ditemui di Kampung Dalam Wang.

Annuar berkata, sebagai bapa beliau selalu berdoa kehidupan semua anaknya lebih baik daripada apa yang sedang dihadapinya dan berharap mereka dapat menghabiskan persekolahan.

“Saya nak mereka belajar lebih tinggi bukan setakat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) sahaja. Saya nak mereka berjaya, kalau mereka tidak mampu untuk bantu keluarga, dapat bantu diri sendiri pun tidak apa,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penoreh pawah, Alias Wan Daud, 36, hanya tinggal di pondok kecil bersama isteri, Shazmiza Azmi, 35, dan dua anak perempuan mereka.

Mereka memilih untuk tinggal di pondok kecil itu sejak setahun yang lalu kerana mahu memberi ‘sedikit’ keselesaan kepada anak mereka.

“Sebelum ini tinggal dengan ayah, tetapi ramai adik beradik tinggal bersama. Jadi kami ambil keputusan bina rumah di atas tanah bapa saudara, rumah ini tiada bilik. Di sini kami makan, tidur, masak. Api (elektrik) dan air menumpang rumah bapa saudara.

Pendapatan tak seberapa

“Kalau ikutkan memang tidak selesa, kalau kami berdua tidak mengapa. Bukan tiada perancangan untuk duduk di rumah lebih selesa, tetapi nak buat macam mana pendapatan tak seberapa,” katanya.

Alias berkata, dengan pendapatan RM400 sebulan dengan menoreh ia memang tidak mencukupi kerana jumlah berkenaan hanya diperoleh ketika cuaca baik.

“RM400 waktu tidak hujan. Kalau musim hujan dapatlah RM100 ke RM200 sebulan. RM400 yang dapat ketika cuaca baik itulah yang menampung belanja ketika musim hujan, jadi memang saya tidak dapat menyimpan.

Salleh Abdul Razak,62, selepas menoreh getah di kebun miliknya di Kampung Baru, Mukim Siong.

Berhutang beli keperluan

“Ada masa saya bertukang membuat rumah, tetapi bukan selalu kerana perlu tunggu orang panggil sekali empat ke lima bulan baru ada. Simpan (wang) tak mampu, kami berhutang di kedai lagi adalah untuk makan,” katanya.

Shamiza tidak dapat menahan rasa sebak dan menangis apabila mengenang nasib mereka terutama sekali anak-anak mereka yang masih kecil, namun dia reda, bersyukur dengan apa yang beliau miliki sekarang serta percaya ada rezeki anak-anaknya pada masa akan datang.

“Saya pujuk hati. Tidak mahu cemburu dengan kesenangan orang lain. Kita tidak boleh ikut orang, kita kena sedar siapa kita. Saya tidak sesekali mendesak suami untuk itu dan untuk ini. Kekuatan kami adalah anak-anak.

“Anak-anak makin besar, yang sulung sudah Tahun Satu, dia pun pandai bertanya bila dia boleh ada bilik macam rumah kawan lain, saya suruh dia bersabar dan akan berusaha,” katanya. – WD MY