KUALA LUMPUR, 23 DIS – SELESAI…. Kerajaan PH diminta menyelesaikan isu penggantungan pengambilan pekerja asing dari Nepal bagi menampung keperluan pekerja pengawal keselamatan di negara ini.

Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA), Datuk Foo Yong Hooi, berkata syarikat dan firma pengawal keselamatan semakin bimbang dengan penangguhan kemasukan pekerja Nepal.

Katanya kekurangan pekerja asing ini akan menggalakkan pengambilan pekerja haram, sekali gus menjejaskan ekonomi.

“Kita berharap kerajaan dapat berunding bersama kerajaan Nepal berhubung isu kemasukan pekerja Nepal yang visa mereka sudah dikeluarkan sejak Mei lalu.

“Syarikat yang memohon pengawal Nepal dan pekerja am kini buntu. Levi sudah dibayar sebanyak RM2,055 dan visa juga sudah dikeluarkan Jabatan Imigresen, namun masih belum menerima pekerja.

“Ini sekali gus menjejaskan produktiviti dan prestasi syarikat terbabit, khususnya firma keselamatan kerana Nepal satu-satunya negara yang diluluskan kerajaan untuk menggajikan pengawal keselamatan asing di sini,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Mei lalu, kerajaan Nepal menggantung kemasukan pekerja mereka ke Malaysia ekoran pelbagai yuran dikenakan ke atas rakyat mereka bekerja di sini.

Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran kemudian membuat rundingan dan menandatangani menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Nepal pada Oktober lalu berhubung penggantungan pekerja asing ini.

Setakat Jun tahun lalu, jumlah pekerja asing dikeluarkan pas lawatan kerja sementara (PLKS) oleh Jabatan Imigresen adalah seramai 1,747,154 orang, dengan 378,577 daripadanya dari Nepal, iaitu angka kedua tertinggi selepas Indonesia. -WD MY