KUALA LUMPUR, 13 MAC – BEBAS…. Pihak Kerajaan PH tidak campur tangan berhubung pembebasan warga Indonesia, Siti Aisyah, daripada tuduhan membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata keputusan untuk menarik balik pertuduhan terhadap Siti Aisyah, 27, adalah di bawah bidang kuasa Peguam Negara sepenuhnya.

Beliau yang memegang portfolio undang-undang, juga menegaskan tidak pernah menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak, khususnya kerajaan Indonesia untuk membebaskan Siti Aisyah.

“Peguam Negara ada hak di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan untuk menjalankan atau memberhentikan apa-apa pertuduhan terhadap seorang tertuduh, walaupun kes masih berjalan di mahkamah.

“Itu adalah hak dan kuasa Peguam Negara untuk membuat keputusan. Kerajaan tidak mencampuri keputusan yang dibuat oleh Peguam Negara,” katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia, Yasonna H Laoly, kelmarin, bahawa pembebasan Siti Aisyah adalah hasil beberapa siri rundingan antara pemimpin Indonesia dan Malaysia.

Yasonna dilaporkan berkata, rundingan bagi membebaskan Siti Aisyah itu turut dibincangkan dalam pertemuan antara Presiden Indonesia, Joko Widodo dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Ogos tahun lalu.

Mahkamah Tinggi Shah Alam kelmarin melepas tanpa membebaskan Siti Aisyah daripada pertuduhan membunuh Jong-nam, selepas Pejabat Peguam Negara menarik balik pendakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 254(1) Kanun Acara Jenayah.

Siti Aisyah dan seorang warga Vietnam, Thi Huong, didakwa bersama empat lagi yang masih bebas, membunuh Jong-nam, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada jam 9 pagi 13 Februari 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori. – WD MY