SERDANG, 24 Okt – PINDAAN…… Kerajaan akan meminda Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 bagi membolehkan tindakan lebih berkesan dan relevan untuk jangka masa panjang diambil dalam membendung kegiatan judi haram termasuk perjudian dalam talian, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis  Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama  dengan Jabatan Peguam Negara bagi melihat keperluan sama ada perlu melakukan pindaan sepenuhnya terhadap akta tersebut atau mewujudkan satu undang-undang judi yang baharu dalam bentuk pencegahan, khusus bagi jenayah perjudian dalam talian.

“Tumpuan khusus terhadap pemerkasaan undang-undang judi dalam talian perlu dibuat kerana aktiviti perjudian yang boleh dilakukan melalui telefon pintar itu didapati telah menguasai sebahagian besar aktiviti perjudian ketika ini,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian pada sidang media selepas menjayakan dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Kluster Keselamatan Bersama Belia di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata KDN melalui PDRM  bekerjasama dengan polis antarabangsa (Interpol) serta syarikat telekomunikasi (Telco) bagi membendung kegiatan perjudian dalam talian yang dikesan berpangkalan di Macau, Las Vegas dan sebuah negara di rantau ASEAN itu daripada berkembang ke dalam negara ini.

Beliau berkata jenayah tersebut boleh menyebabkan institusi keluarga bergolak selain mengundang pengaliran keluar wang negara tanpa kawalan ke pangkalan data pusat perjudian berkenaan.

“Kita telah menghantar pulang sebanyak  416 penjenayah warga China yang terlibat dalam aktiviti Macau Scam dan usaha itu diperhebat dengan polis sedang menyiasat 100 lagi penjenayah berkaitan sindiket itu sebelum dihantar pulang ke negara asal,” katanya.

Usaha membanteras aktiviti perjudian semakin diperhebat selepas Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengambil alih tampuk selaku Ketua Polis Negara pada 4 Sept lepas, dengan PDRM telah melakukan 5,913 operasi di seluruh negara sejak pelantikannya sehingga semalam, katanya.

“Daripada jumlah itu, Selangor dan Pulau Pinang mencatat jumlah serbuan paling tinggi,” katanya.

Mengenai dialog TN50, Ahmad Zahid berkata beliau amat berpuas hati dengan input yang dilontarkan majoriti peserta yang mengutarakan aspirasi berhubung kepentingan soal keselamatan, keharmonian dan kesejahteraan rakyat perlu ditangani dengan lebih efisien oleh kerajaan melebihi apa yang sedang dilakukan sekarang.

Beliau berkata sebanyak 17 isu atau inspirasi berkaitan keselamatan telah dikemukakan oleh sebahagian daripada kira-kira 2,000 peserta program yang turut diikuti oleh lebih 35,000 penonton melalui siaran langsung di laman Facebook KDN. – WD MY