SERENDAH, 2 Feb – BEZA……. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan tidak pernah membezakan usaha membawa pelaburan ke negeri yang ditadbir Barisan Nasional (BN) mahu pun pembangkang.

Beliau berkata setiap pelaburan kerajaan adalah demi kesejahteraan rakyat dan negara termasuk di Pulau Pinang dan Selangor.

Menurut Ahmad Zahid, industri baharu yang diwujudkan di kawasan Serendah, Selangor untuk membangunkan Kilang Rawatan Permukaan Logam Metal bagi industri aeroangkasa adalah antara bukti kerajaan Persekutuan tidak pernah meminggirkan negeri dikuasai pembangkang.

“(Kawasan) industri ini dipunyai UMW Group, sebuah anak syarikat di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB). Ia merupakan satu usaha pihak swasta, PNB dan UMW sendiri.

“Jika ada pihak yang menyatakan bahawa ‘the influx of foreign direct investment’ (kemasukan besar-besaran pelaburan langsung asing) disebabkan oleh kuasa dan jawatan seseorang itu yang memerintah negeri yang tidak sama dengan pusat, maka hari ini bukti bukan usaha orang itu, bukan usaha tokoh itu yang bawa pelaburan sebanyak RM200 juta,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan majlis pecah tanah kilang rawatan tersebut di UMW High Value Maunufacturing Park di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata pembangunan yang dibawa ke kawasan industri UMW High Value Manufacturing Park dilihat sebagai bukti bahawa kerajaan negeri boleh turut menumpang sama usaha yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan.

“Jadi, jangan ada yang mendakwa usaha mereka bawa ‘foreign direct investment’ (pelaburan langsung asing) ini. Sepatutnya perusahaan seperti ini walaupun berteknologi tinggi perlu dibawa ke Jeli (kawasan Parlimen Mustapa) dan Bagan Datuk (kawasan Parlimen Ahmad Zahid).

“Tetapi ia menjadi satu kawasan yang ikonik di Hulu Selangor. Jadi saya harap anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri di bawahnya memastikan tempat ini tidak terlepas ke tangan pihak lain,” katanya.

Dalam ucapannya, Timbalan Perdana Menteri juga berkata industri aeroangkasa merupakan industri baharu yang dilihat mempunyai potensi besar untuk menjana pendapatan kepada negara. – WD MY