BAGAN DATUK, 17 Mac – CADANGAN….. Kerajaan menyambut baik cadangan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk menaikkan had tunggakan cukai untuk sekatan perjalanan ke luar negara daripada RM2,000 kepada RM10,000 untuk pembayar cukai individu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata had itu membolehkan lebih ramai individu dapat ke luar negara berbanding langkah yang dilaksanakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Jelasnya, langkah itu sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban rakyat negara ini khususnya buat mereka yang memerlukan ke luar negara untuk melakukan ibadat dan urusan penting yang lain.

“Langkah yang dicadangkan PAC ini satu langkah yang amat dialu-alukan dan saya akan memantau pelaksanaannya jika dipersetujui di peringkat dasar untuk diguna pakai dalam tempoh sesegera mungkin.

“Sebagai contoh, orang yang melakukan ibadat sebelum ini terpaksa memohon pengecualian sementara di Jabatan Insolvensi dan langkah itu amat membebankan,” katanya selepas merasmikan Kelab Usahawan Sahabat Amanah Ikhtiar Bagan Datuk (Kusabda) di Dewan Datuk Lope Hashim ┬áhari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beliau akan mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia mengimplementasikan langkah tersebut di semua kaunter ke luar negara, termasuk kepada mereka yang mahu ke luar negara atas urusan ibadah apabila keputusan operasional diperoleh kelak.

Malah Ahmad Zahid yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk meminta semua pihak menyokong cadangan tersebut kerana ia jelas memberi banyak faedah kepada rakyat.

Sementara itu ketika berucap, beliau memuji pengurusan AIM yang berjaya mengurus secara professional sehingga institusi itu mampu memberi pinjaman lebih banyak kepada rakyat memerlukan.

“Pencapaian AIM adalah merupakan contoh yang terbaik selain daripada bank Grameen di Bangladesh kerana AIM lebih tersusun struktur organisasi dan telus pentadbirannya serta lebih banyak keuntunganya.

“AIM kini telah menjadi contoh negara-negara membangun dan ini merupakan komitmen bahawa AIM bukan sekadar melaksanakan perancangan dan pengurusan dana melalui mikro kredit tetapi ia adalah program sosio-ekonomi untuk tingkatkan taraf ekonomi keluarga miskin keluar dari kepompong kemiskinan,” katanya. – WD MY