KUALA LUMPUR,JUN 9:FOKUS…Kerajaan Sarawak akan memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur di kawasan luar bandar dan bidang pertanian moden sebagai hala tuju pembangunan negeri berkenaan pada masa depan.

Ketua Menterinya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, antara yang menjadi fokus kerajaan Sarawak ketika ini adalah masalah bekalan air bersih di kawasan pedalaman.

“Masih banyak kampung di kawasan luar bandar tidak dapat bekalan air bersih dan kerajaan negeri akan mengatasi masalah itu dengan melaksanakan projek bekalan air bersih.

“Ia membabitkan kos berbilion ringgit dan tumpuan akan diberikan kepada kawasan di luar bandar yang memerlukan,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama Anak Sarawak di ibu negara, malam ini.

Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak juga akan meningkatkan pembangunan bidang pertanian dengan memberi keutamaan kepada beberapa kawasan di luar bandar.

“Antaranya, Sri Aman dan Bintangor yang akan dimajukan sebagai taman agro. Inisiatif itu dilaksanakan demi masa depan petani di kawasan luar bandar,” katanya.

Selain itu, Abang Johari berkata, dana kewangan negeri itu juga semakin kukuh dan ia membolehkan kerajaan negeri menambah peruntukan dalam bidang pendidikan.

Katanya, hasil keluaran balak negeri itu turut menambah pendapatan Yayasan Sarawak dan sekali gus membolehkan kerajaan negeri dapat menyediakan lebih banyak dana untuk membantu anak negeri itu melanjutkan pelajaran.

“Tahun lalu, kerajaan negeri dapat menambah jumlah biasiswa dan pinjaman terutama kepada pelajar jurusan perubatan.

“Kita berharap keadaan kewangan negeri akan terus kukuh bagi membolehkan lebih ramai anak Sarawak mendapat bantuan untuk melanjutkan pelajaran,” katanya.

Sementara itu, pada majlis yang sama, Abang Johari turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 150 anak Sarawak yang menuntut di beberapa institusi pengajian tinggi di ibu negara.-MY WD