KANGAR, 1 April – BUKA SEMULA……. Kerajaan sedia menimbang cadangan membuka semula Zon Aliran Bebas (free flow) di pintu sempadan Malaysia-Thailand dekat Wang Kelian di sini, yang dimansuhkan sejak 2015 kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata kerajaan mengambil maklum titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, baru-baru ini yang berharap zon berkenaan dibuka semula bagi merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan itu.

“Saya mendengar titah Tuanku (Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail) dan tiada masalah untuk membuka semula kawasan ini.

“Namun, sebelum itu kita harus bersama-sama memastikan Barisan Nasional (BN) menang besar di semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Himpunan Jentera BN Negeri Perlis di Dewan 2020, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, bukan setakat membuka semula zon terbabit, malah kerajaan juga bersetuju melaksanakan kajian kebolehupayaan (feasibility study) ke atas cadangan untuk menaiktaraf jeti Kuala Perlis sebagai pelabuhan kapal kargo.

“Selain itu juga, kita sedia mempertimbangkan cadangan Kerajaan Perlis untuk mewujudkan zon bebas cukai di Padang Besar.

“Insyaallah..segala permohonan ini akan dapat ditunaikan dengan syarat kita (BN) terus menerajui Perlis 100 peratus pada PRU nanti,’ katanya.

Sebelum ini, Raja Perlis ketika majlis Pecah Tanah Jeti Bersepadu Sanglang baru-baru ini, bertitah ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengadap baginda di Istana Arau, agar dapat membuka semula Zon Aliran Bebas Wang Kelian bagi menarik semula sektor pelancongan serta ekonomi di kawasan berkenaan.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, Pengerusi Perhubungan BN Negeri Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, dalam ucapannya memohon pertimbangan Kerajaan Persekutuan terhadap beberapa cadangan jentera BN negeri itu seperti mewujudkan Zon Bebas Cukai seperti Bukit Kayu Hitam di Padang Besar, membuka semula Zon Aliran Bebas di Wang Kelian serta menaik taraf jeti Kuala Perlis sebagai pelabuhan kapal kargo. – WD MY