PUTRAJAYA, 14 Mei – Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kerajaan sentiasa terbuka untuk mendengar dan menerima kritikan rakyat bagi memperbaiki sebarang kelemahan yang wujud dalam pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP).

Menurut beliau, kerajaan sedar implikasi dan kerisauan rakyat sejurus pelaksanaan cukai itu bermula pada 1 April lepas.

“Tetapi kita juga minta masyarakat supaya menggunakan budi bicara mengelak daripada dipergunakan sebilangan peniaga yang rakus dan sengaja menggunakan CBP sebagai alasan menaikkan harga barang bagi menunjukkan kerajaan sengaja ingin menyusahkan rakyat.

“Apa yang kita harap ialah rakyat faham matlamat di sebalik pelaksanaan CBP, antaranya bagi menyelaras semula sistem kutipan cukai di mana sebelum ini hanya 1.2 juta yang membayar dalam kalangan 13 juta pekerja yang layak berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis ramah mesra bersama warga emas, ibu tunggal dan anak-anak yatim Parlimen Putrajaya, di Putrajaya.

Pada majlis tersebut, beliau menyampaikan sumbangan kerusi roda kepada 50 bahagian dalam Parlimen Putrajaya, kain, sejadah, kain pelikat dan sejumlah wang kepada mereka yang diraikan itu.

Tengku Adnan berkata selaku menteri dan anggota Parlimen Putrajaya, beliau telah mengarahkan satu kaji selidik dilaksanakan oleh persatuan penduduk di semua 50 bahagian di kawasan itu bagi mendapatkan maklum balas penduduk mengenai CBP dan bagaimana pelaksanaan percukaian baharu itu boleh ditambah baik.
– Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY