KUALA LUMPUR, 21 Mac – SERAP… Kerajaan menyerap kos pengangkutan barangan yang dijual di bawah inisiatif Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0 bertujuan menyelaraskan harga jualan di seluruh negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga pengerusi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara, berkata peruntukan khas kepada syarikat pengangkutan diberi supaya rakyat di Sabah dan Sarawak turut dapat menikmati harga produk yang berpatutan seperti di Semenanjung.

“Ia satu langkah proaktif kerajaan dan meliputi juga dasar kabotaj dengan penyelarasan harga dari segi pengurangan kos pengangkutan untuk barangan KR1M 2.0 yang dijual di Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan berusaha menyelaraskan harga khususnya untuk outlet di Sabah dan Sarawak,” katanya dan menurutnya kerajaan mengambil pelbagai langkah untuk menyediakan bantuan kewangan dalam usaha mengurangkan kos pengangkutan serta pengedaran.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan outlet KR1M 2.0 kategori kedai serbaneka di KK Super Mart, Terminal Bersepadu Selatan (TBS) hari ini.

Ahmad Zahid menegaskan pelaksanaan KR1M 2.0 untuk membantu rakyat membeli barangan keperluan asas pada harga berpatutan bukan inisiatif bermusim.

“Kerajaan berharap langkah-langkah dilakukan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) ini akan dapat diteruskan. KR1M 2.0, Insya-Allah kekal dengan barang-barang yang boleh kita uruskan terus dari pengeluar, akan kita bincangkan agar harga di bawah pasaran dapat diteruskan,” katanya.

Melihat reaksi positif masyarakat terhadap inisiatif KR1M 2.0, Ahmad Zahid berkata kerajaan berhasrat memperluaskannya ke Sabah dan Sarawak termasuk di kawasan pedalaman kedua-dua negeri itu.

Penjualan barangan KR1M 2.0 dibuat menggunakan bungkusan asal produk berjenama dengan harga kompetitif, dan bukan lagi produk dalaman khas sendiri yang berbungkus putih seperti yang dilakukan sebelum ini.

Pemilik outlet atau perniagaan yang terlibat dengan KR1M 2.0 ialah pasar raya atau kedai sedia ada yang memasang logo KR1M 2.0 sebagai menandakan premis berkenaan menjual produk KR1M.

Sebanyak 52 outlet yang menjual barangan KR1M telah dan akan dibuka dan sasarannya ialah 3,000 outlet dalam tempoh tiga tahun akan datang. Ia kini beroperasi di negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Kuala Lumpur.

KR1M 2.0 dilancarkan bulan lepas dengan beberapa pembaharuan dan penambahbaikan terhadap skim lama. – WD MY