SINGAPURA, 16 Dis – Tahniah….. Kerajaan Singapura berharap dapat menjalin
hubungan lebih kukuh dengan Malaysia di bawah pemerintahan Yang di-Pertuan Agong
ke-15 Sultan Muhammad V.

“Saya yakin Malaysia akan menikmati kemajuan yang baik di bawah pemerintahan
baginda,” kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam surat tahniah yang
diedarkan kepada media lewat Khamis.

Lee berkata Malaysia dan Singapura berkongsi sejarah yang panjang membina
hubungan rakyat kedua-dua buah negara.

“Melihat ke hadapan, projek-projek bersama seperti Kereta Api Berkelajuan
Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura akan menjadikan hubungan rakyat Malaysia dan
Singapura lebih erat.
“Saya berharap untuk mengukuhkan hubungan antara negara kita, semasa di bawah
pemerintahan baginda,” kata Lee.

Sultan Muhammad V melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong
ke-15 di Istana Negara, pada Selasa.

“Bagi pihak kerajaan Singapura, saya ingin merakamkan ucapan tahniah sempena
pelantikan Tuanku sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15,” catat Lee dalam surat
tahniah itu.

Lee turut menyampaikan penghargaan kepada Sultan Muhammad V yang memberi
penghormatan terakhir terhadap mendiang bekas perdana menteri pertama Singapura.

“Kami akan menghargai kehadiran Tuanku yang memberi penghormatan terakhir
terhadap mendiang Lee Kuan Yew pada Mac 2015.

“Isteri saya turut bersama-sama saya mengucapkan kejayaan bagi Tuanku,”
katanya. – WD MY