KUALA LUMPUR, 24 Feb – PINGGIR…. Kerajaan tidak pernah meminggirkan soal pembangunan dan kebajikan kawasan parlimen Lembah Pantai, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata walaupun kawasan parlimen itu di bawah parti pembangkang, kerajaan tetap meneruskan pelbagai inisiatif dalam mensejahterakan penduduk di kawasan itu melalui kerjasama Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Sebagai contoh kata Tengku Adnan, kerajaan sedang membina parkir sembilan tingkat dalam usaha mengurangkan masalah tempat meletak kenderaan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, yang dijangka siap November ini.

Langkah sama turut diambil bagi menyelesaikan masalah tersebut di PPR Kg Limau, PPR Cempaka dan Kerinchi yang juga akan mendapat parkir bertingkat, tambah beliau.

Beliau berkata, kementerian juga kini dalam peringkat memuktamadkan cadangan bagi membangunkan semula gerai-gerai sedia ada di Taman Bukit Angkasa, di sini dengan membina bangunan setinggi 20 tingkat yang lengkap dengan pelbagai kemudahan.

Tengku Adnan berkata Program Bantuan Bas Sekolah Percuma DBKL, Klinik 1Malaysia, Pusat Internet 1Malaysia, Program Kad Ceria, Perpustakaan 1Wilayah Perpustakaan Lembah Pantai, dan pembangunan semula Residensi Kerinchi merupakan antara inisiatif yang telah diambil oleh kerajaan bagi memasitkan keselesaan dan kesejahteraan penduduk di situ.

“Inilah antara bukti kejayaan cemerlang kerajaan Barisan Nasional dalam mentadbir negara ini seterusnya memastikan keharmonian kehidupan masyarakat sentiasa dijaga dan terpelihara,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Kenduri 1Wilayah Parlimen Lembah Pantai hari ini.

“Kita lakukan ini kerana kita sayang kepada rakyat, dan kita akan teruskan program-program ini demi memastikan kesejahteraan rakyat, kerana kerajaan sekarang merupakan kerajaan yang perihatin,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Adnan menasihati penduduk Lembah Pantai agar lebih bijak dalam memilih calon pemimpin pada masa depan terutamanya pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau juga menasihati agar penduduk Lembah Pantai tidak terpedaya dengan pelbagai dakwaan dan dakyah yang disebarkan parti pembangkang kerana ia bersifat fitnah dan tohmahan. – WD MY