PUTRAJAYA,  9 Ogos – Kualiti……Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan tidak putus-putus berusaha untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat,  rakyat juga perlu melaksanakan peranan mereka termasuk mengekalkan tahap disiplin yang tinggi.

Ahmad Zahid berkata tiada kerajaan yang boleh melakukan segala-galanya secara bersendirian tanpa sumbangan rakyat untuk melengkapkan usaha itu.

“Menjaga kebersihan di kawasan kejiranan kita, tidak memotong barisan di persimpangan lampu isyarat, tidak makan berlebihan dan bersenam secara kerap, mungkin kelihatan remeh, tetapi ini adalah antara perkara yang rakyat biasa boleh lakukan untuk melengkapkan usaha kerajaan,” kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis penyampaian Anugerah Pembangunan Sumber Manusia  Asia (HRD) 2017, malam tadi.

Beliau berkata kerajaan membina rumah baharu dan membuka kawasan perbandaran baharu  dilengkapi prasarana serta keperluan yang lebih baik, dan usaha ini tidak terhenti setakat itu sahaja.

kerajaan membina lebih banyak sekolah dengan persekitaran lebih kondusif agar generasi masa depan negara ini mendapat pendidikan yang setara dengan di negara maju.

Ahmad Zahid berkata lebih banyak hospital baharu dengan kelengkapan paling canggih dan balai polis baharu turut dibina.

“Kami komited dalam memastikan negara ini selamat. Nisbah standard Interpol bagi jumlah polis dan penduduk adalah 1:250 dan kami sedang berusaha ke arah itu,” katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid menyampaikan Anugerah HRD Asia, yang mengiktiraf pencapaian cemerlang dan penyumbang luar biasa yang menyokong kecemerlangan insan serta mengiktiraf nilai yang diwujudkannya.

Beliau berkata meraikan kecemerlangan adalah tentang mengiktiraf pencapaian cemerlang dan contoh ikutan yang merupakan contoh nyata sumbangan luar biasa.

Memetik beberapa nama seperti pelari pecut Malaysia Khairul Hafiz Jantan dan pemain badminton Datuk Lee Chong Wei sebagai contoh, beliau berkata mereka memberi inspirasi kepada pihak lain untuk terus berusaha melakukan yang terbaik.

“Contoh ikutan ini adalah contoh nyata terhadap sumbangan luar biasa. Atas sebab inilah, saya berpendapat memberi penghormatan kepada mereka yang  menunjukkan kepada dunia jalan ke arah kecemerlangan adalah satu acara yang amat penting,” kata Ahmad Zahid. – WD MY