KUALA LUMPUR, 9 Nov -Tahniah……Rakyat Amerika Syarikat mahu kerajaannya lebih tertumpu kepada soal kepentingan dan kebajikan mereka dan kurang terlibat dalam campur tangan terhadap negara asing.

Itu yang menjadi faktor Calon Republikan, Donald Trump menang sebagai Presiden Amerika Syarikat.

Pandangan itu disuarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Trump, Perdana Menteri berkata, jangkaan media dan ramalan oleh pakar sebelum ini terbukti meleset dengan keputusan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat.

Trump yang pada mulanya dianggap asing dalam pencalonannya dalam Parti Republikan berjaya dicalonkan dan sekali lagi membuktikan kejayaan luar biasanya apabila menang sebagai Presiden Amerika Syarikat.

Ia sekaligus membuktikan ahli politik tidak boleh mengambil mudah kuasa pengundi.

Tinjauan pendapat serta ulasan oleh ahli politik terkemuka sebelum ini memandang remeh kekuatan sokongan pengundi terhadap Trump.

Pada tahun 2014, hubungan Malaysia-Amerika Syarikat ditingkatkan melalui perkongsian komprehensif dan kedua-dua negara menjalin kerjasama erat dalam memerangi keganasan.

Dan hubungan itu diharap dapat diteruskan di bawah kepemimpinan Presiden Trump. – WD MY