LONDON, 17 April – Gesaan…… Pembuat dasar United Kingdom (UK) menggesa kerajaan melucutkan kerakyatan British isteri Presiden Syria Bashar al-Assad kerana menyokong rejim suaminya ketika perang saudara berterusan di negara itu.

Jurucakap hal ehwal luar Liberal Demokrat, ahli parlimen (MP) Tom Brake menuduh Asma al-Assad menggunakan profil antarabangsanya untuk mempertahankan ‘rejim yang kejam.’

“Setiausaha Luar Boris Johnson menggesa negara lain melakukan lebih mengenai Syria, namun kerajaan British boleh memberi kata dua kepada Asma al-Assad, sama ada berhenti menggunakan kedudukan untuk mempertahankan tindakan kejam atau kerakyatannya dilucutkan,” kata Brake.

Kenyataannya susulan kecaman Johnson ke atas Assad sebagai ‘pengganas tegar’ dalam artikel akhbar Sunday Telegraph semalam menggesa sekutu Russia itu menamatkan sokongannya terhadap Assad.

Komen Brake disokong MP Nadhim Zahawi daripada parti pemerintah Konservatif.

“Masanya sudah tiba apabila kami memburu Assad (Bashar) dalam setiap cara termasuk individu seperti isterinya, yang sebahagian besar menjadi mesin propaganda melakukan jenayah perang,” kata Zahawi.

Isteri Assad berusia 41 tahun, dipercayai memegang kerakyatan British-Syria, berdiri teguh di sisi suaminya dalam kemunculan jarang di khalayak ramai, mengambil selfie bersama penyokong dalam gambar dihantar di akaun Instagram presiden.

Perkahwinan pasangan itu diumumkan enam bulan selepas mengambil alih pentadbiran Syria pada Julai 2000. Mereka bertemu dalam satu parti anjuran masyarakat British Syria di London. – WD MY