LIMBANG, 7 Feb – PECAH AMANAH…… Pihak Polis menahan seorang kerani bank dipercayai menyonglap wang daripada akaun pelanggan antara April hingga Jun tahun lalu.

Lelaki berusia 33 tahun itu dipercayai melakukan kesalahan itu sebanyak 103 kali berdasarkan laporan polis diterima hasil semakan yang dijalankan.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Mohd Bukhori Saffai, berkata polis berjaya menahan suspek di bandar ini pada jam 3.30 petang hasil risikan dan pemantauan lanjut.

Beliau berkata, ia susulan laporan diterima daripada seorang wanita yang mendakwa wang sebanyak RM53,870 di dalam akaunnya hilang walaupun tidak melakukan sebarang pengeluaran atau transaksi dalam talian.

Katanya, mangsa berusia 68 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Limbang untuk tindakan lanjut.

“Siasatan lanjut mendapati wang mangsa hilang di dalam akaunnya walaupun tiada sebarang pengeluaran mahupun transaksi dalam talian dilakukan sebelum ini.

“Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang kemudian membuat siasatan lanjut dan mendapati jenayah itu dipercayai dilakukan seorang kakitangan bank berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, suspek dipercayai melakukan kesalahan itu dalam tempoh dua bulan antara awal April hingga Jun tahun lalu, namun tidak disedari mangsa dan majikannya.

Katanya, suspek bekerja sebagai kerani itu didakwa melakukan 103 pengeluaran tidak sah daripada akaun mangsa sepanjang tempoh berkenaan.

“Suspek kini disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun dan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.

“Orang ramai dinasihat melaporkan segera kepada polis sekiranya menyedari berlaku sebarang transaksi mencurigakan pada akaun bank mereka supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya. – WD MY