MELAKA, 30 Nov – TAHAN…. Kerani ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Klebang, di sini, kerana dipercayai cuba menyogok RM1,000 kepada penguatkuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), tengah hari tadi.

Wanita berusia 30 tahun itu ditahan sepasukan anggota SPRM di pejabatnya, kira-kira jam 1 tengah hari.

Suspek yang bekerja di sebuah syarikat membaik pulih kapal yang dipercayai menjalankan operasi secara haram itu cuba menyogok anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit supaya tidak mengeluarkan notis pemberhentian operasi syarikat.

“Siasatan awal mendapati, operasi yang dijalankan syarikat itu dipercayai menyebabkan berlakunya pencemaran laut berikutan penggunaan bahan kimia.

“Dalam serbuan itu, anggota MBMB mengeluarkan notis pemberhentian operasi ke atas syarikat yang tidak mempunyai permit sejak lebih setahun lalu, sebelum disogok” katanya.

Beliau berkata, wanita itu kemudian dibawa ke pejabat SPRM untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Abu Talib Othman ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu. – WD MY