KUALA LUMPUR, 28 Mei – Persidangan Dewan Rakyat hari ini
diberitahu projek pembangunan kereta elektrik Proton masih pada peringkat
prototaip.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid
berkata ia sedang melalui beberapa ujian intensif membabitkan kualiti dan ciri
keselamatan bagi memastikan kereta itu mematuhi piawaian antarabangsa.

“Ujian itu juga mengambil kira kehendak pelanggan serta memastikan kereta
elektrik dikeluarkan pada harga yang berpatutan,” katanya ketika menjawab
soalan Dr Che Rosli Che Mat (PAS-Hulu Langat).

Mahdzir berkata Proton juga menghadapi cabaran seperti syarikat pengilang
peralatan asal yang lain dalam membangunkan teknologi baharu iaitu kos pelaburan
tinggi dan tempoh penyelidikan lebih lama.

“Kerajaan menyokong penuh usaha syarikat kereta nasional dalam membangunkan
kereta elektrik dan usaha sama rapat antara kerajaan, pihak pengeluar, pembekal
utiliti dan pihak-pihak berkepentingan lain sangat diperlukan bagi mempromosi
penggunaan kereta elektrik, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai peneraju dan
hab pengeluaran kereta elektrik di ASEAN.

“Ia selaras dengan Pelan Tindakan Mobiliti Elektrik Negara yang sedang
disediakan oleh pihak kementerian,” katanya.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY