BATU PAHAT, 8 Jun – Kemalangan… Tiga ┬álelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas di Kilometer 111, Jalan Johor Bahru-Melaka dekat sini, awal pagi tadi.

Kejadian jam 4 pagi itu, penumpang yang maut ialah Cheah Chen Kon, 45; Cheng Boon Seng, 49, dan Tan Eng Keng, 49, manakala pemandu kereta jenis Hyundai berusia lingkungan 40-an cedera.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata ketika kejadian, semua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Batu Pahat menuju ke Rengit, dekat sini selepas hadir majlis makan malam.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, secara tiba-tiba kereta dipandu lelaki berusia lingkungan 40-an itu hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar pokok.

“Akibat kemalangan itu, ketiga-tiga mangsa terbabit meninggal dunia di lokasi kejadian disebabkan parah, manakala pemandu kereta yang cedera dikejarkan ke Hospital Batu Pahat di sini.

“Punca kejadian dipercayai akibat mengantuk selain pemandu berada di bawah pengaruh alkohol menyebabkan gagal mengawal kereta dipandunya sehingga terbabas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Wahib berkata, mayat mangsa turut dibawa ke hospital sama untuk proses bedah siasat dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – WD MY