ALOR SETAR, 20 Okt – TERBAKAR….. Tindakan pantas seorang anggota trafik menahan pemandu wanita yang tidak menyedari keretanya terbakar, menyelamatkan mangsa daripada kecederaan.

Guru berusia dalam lingkungan 20-an itu dikesan memandu kereta jenis Toyota Vios milik rakannya di bulatan Telok Wanjah di sini, kira-kira jam 4.30 petang tadi.

Mangsa dikatakan tidak menyedari kereta dipandunya terbakar sehinggalah ditahan anggota polis trafik yang mengawal lalu lintas di bulatan berkenaan.

Sebaik dimaklumkan oleh anggota polis terbabit, mangsa segera keluar menyelamatkan diri.

Secara kebetulan, sepasukan anggota Pasukan Bomba Sukarela yang dalam perjalanan pulang selepas bertugas terlihat kejadian itu dan membantu memadamkan api.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Arizal Mahmud, berkata pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 4.40 petang, sebelum sembilan anggota bersama Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan Unit Bermotor (RIM) tiba di lokasi.

“Setibanya di lokasi, didapati api sudah dipadamkan anggota bomba sukarela dan kita hanya menjalankan kerja pemeriksaan semula pada kenderaan terbabit untuk memastikan tiada ancaman kebakaran.

“Pemeriksaan mendapati Toyota Vios itu terbakar keseluruhannya, namun pemandunya sempat menyelamatkan diri,” katanya. – WD MY