PUCHONG, 22 MEI – CEDERA…. Dua anggota polis cedera selepas kereta peronda (MPV) dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang ketika mengejar suspek yang cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya di Jalan Bukit Puchong, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at, berkata dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, anggota terbabit sedang menjalankan rondaan rutin sebelum terserempak sebuah kereta Proton Satria Neo dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, kenderaan dinaiki suspek dilihat cuba berpatah balik berhampiran lokasi sekatan jalan raya berkenaan sebelum bertindak mengejarnya.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di satu selekoh di Jalan Bukit Puchong, kenderaan suspek dikatakan membrek secara mengejut sebelum terbabas lalu melanggar sebuah Perodua Kancil yang diletakkan di bahu jalan.

“Ini menyebabkan kereta jenis Proton Inspira dinaiki anggota polis terbabit tidak sempat mengelak lalu terbabas ke dalam longkang yang berada di kiri jalan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, kejadian menyebabkan salah seorang anggota patah pergelangan tangan kiri, manakala seorang lagi koyak tisu bahu kiri sebelum kedua-duanya dikejarkan ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.

“Pemandu Proton Satria Neo itu berjaya meloloskan diri dan usaha mengesannya sedang giat dilakukan. Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – WD MY