PUTRAJAYA, 8 MAC – TUNDA…. Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), Jabatan Perdana Menteri memberi peringatan kepada pemilik yang membiarkan kenderaannya tersadai di kawasan kuarters kerajaan di Putrajaya, bukan saja akan ditunda malah akan dikenakan tindakan denda.

Presiden PPj, Datuk Dr Aminuddin Hassim, berkata kenderaan tersadai itu mengakibatkan kekurangan tempat letak kereta di kawasan kuarters kerajaan selain membahayakan kanak-kanak serta menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Beliau berkata, operasi secara bersama yang akan dilaksanakan adalah kesinambungan daripada operasi yang pernah diadakan sebelum ini bagi memberi peluang kepada penghuni lain menggunakan kemudahan pakir disediakan.

“Setiap bulan PPj mengadakan perjumpaan dengan penduduk dan antara perkara sering dibangkitkan adalah masalah kenderaan tersadai yang memburukkan pemandangan di kediaman penduduk di sini,” katanya kepada media pada Program Kick Off Penundaan Kenderaan Tersadai di kuarters kerajaan Presint 9.

Hadir sama, Setiausaha Bahagian, BPH Rahimi Ismail dan Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Penguatkuasa PPj Rozaimi Ramli.

Berhubung operasi berkenaan, sebanyak dua kereta disita mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemilik turut dikenakan upah alih RM100 selain caj simpanan RM80 sehari di depoh simpanan PPj di Presint 20 di sini.

Selain itu, sebanyak 207 kenderaan tersadai dikenal pasti dan sedia untuk dialihkan terdiri daripada 80 kereta dan 127 motosikal.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, pemilik kenderaan tersadai diberikan notis sebanyak tiga kali secara kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan polis bagi mendapatkan maklumat pemilik.

Pada masa sama, beliau berkata, pemilik diberikan masa selama enam bulan bagi menuntut kenderaan yang disita dengan mengemukakan dokumen dan pengenalan diri dan sekiranya tiada tuntutan, PPj akan melaksanakan proses melupus.

“Kita berharap penghuni lebih bertanggungjawab dan menghargai kemudahan yang disediakan serta tidak menyalahgunakan kemudahan itu untuk kepentingan diri sendiri,” katanya. -WD MY