KULIM, 21 MEI – SIMBAH….. Kereta Timbalan Pendakwa Raya Mahkamah Majistret Baling disimbah cat kapur di pekarangan rumahnya di Taman Mutiara, Sungai Kob.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Safuan Md Noor, berkata mangsa berusia 26 tahun hanya menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan jirannya kira-kira jam 5.30 pagi tadi.

“Ketika mangsa berada di rumah, seorang jiran memberitahunya bahawa kereta mangsa yang berada di dalam kawasan pagar kediaman, disimbah cat berwarna putih.

“Mangsa terus keluar dari rumahnya sebelum mendapati kenderaan terbabit dipenuhi dengan cat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mangsa pernah bertugas di Mahkamah Majistret Kulim selama dua bulan sebelum ditukarkan ke Baling sejak dua minggu lalu.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa tidak mempunyai masalah hutang.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan. – WD MY