KUALA LUMPUR, 24 Jan – NAFI…. Kerja-kerja meroboh dan menanggalkan siling serta kelengkapan lain di kompleks beli-belah Ampang Park ketika ini, bukan dilaksanakan oleh Mass Rapid Transit Corporation Bhd (MRT Corp).

Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MRT Corp, Datuk Najmuddin Abdullah, berkata Ampang Park belum menjadi hak milik syarikat itu ketika ini.

MRT Corp tidak boleh melakukan sebarang aktiviti merobohkan pusat beli-belah berusia 44 tahun itu.

Walaupun MRT Corp akan mengambil alih Ampang Park bagi pembinaan MRT laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP), katanya, proses pengambilalihan tanah belum selesai.

“Oleh kerana proses pengambilalihan itu belum selesai, MRT Corp tidak mempunyai hak milik ke atas Ampang Park dan tidak dapat mengawal apa yang berlaku kepada bangunan itu ketika ini.

“Kerja pelucutan kelengkapan di pusat beli-belah itu tidak sepatutnya berlaku kerana proses pengambilalihan tanah sudah menentukan kuantum pampasan kepada pemilik, termasuk semua kelengkapan dalam bangunan.

“MRT Corp sudah membuat laporan polis pada 3 Januari lalu kerana kami percaya aktiviti ini tidak sepatutnya berlaku, selain boleh membahayakan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan.

Najmuddin berkata, MRT Corp meminta pihak berkuasa mengambil tindakan menghentikan aktiviti dan kerja perobohan di pusat beli-belah itu serta sedia memberi kerjasama jika perlu. – WD MY