SHAH ALAM, 25 APRIL – SELESAI…. Kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) siap sepenuhnya jam 11 malam tadi.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad, berkata pihaknya akan mengaktifkan semula loji.

“Ini bagi membolehkan proses menyalurkan bekalan air terawat ke kolam utama dan sistem agihan dapat dilakukan sebelum bekalan disalurkan kepada pengguna.

“Proses ini dijangka mengambil masa selama 24 jam. Pemulihan adalah secara berperingkat dan berbeza di setiap kawasan kerana ia bergantung kepada lokasi geografi dan ketinggian premis pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.

Bermula pagi semalam, sepanjang tempoh 86 jam yang dijadualkan bagi penambahbaikan itu, gangguan bekalan air berlaku di Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Berikutan itu, 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan akan terkesan.

Air Selangor menyediakan 99 lori tangki termasuk 17 lori tangki jumbo sepanjang tempoh gangguan bekalan air yang dijangka hingga Sabtu ini.

Selain lori tangki, Air Selangor juga membuka 10 Pusat Khidmat Setempat (PKS) pada jam 8 pagi Jumaat ini, yang menyediakan bekalan air kepada penduduk.

Air Selangor turut menempatkan 106 tangki statik di premis kritikal dan lokasi strategik serta penyediaan sembilan lokasi pili air awam selain menyediakan stesen pengisian air khusus bagi pembelian air untuk pelanggan industri. – WD MY