KUALA LUMPUR, 31 Mei – Ubah Laluan…. Sepanjang laluan 230 meter di Jalan Sultan Azlan Shah (laluan Segambut) akan diubah dan disusun semula bermula esok sehingga Disember 2021.

MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd (MGKT) dalam satu kenyataan berkata, penjajaran semula jangka panjang itu terpaksa dilakukan bagi membolehkan kerja pembinaan bagi Stesen MRT Sentul Barat dilaksanakan.

Katanya, penjajaran semula yang dijangka kekal selama empat tahun itu akan mengubah laluan Segambut sedia ada ke bahagian kanannya, iaitu antara Hotel New Cloud dan HSBC Bank, berhampiran Jalan Selvadurai.

“Jumlah lorong (bagi laluan yang dijajarkan semula) akan kekal seperti sedia ada sepanjang tempoh penjajaran semula itu.

“Penunggang motosikal dinasihatkan mematuhi arahan papan tanda sepanjang tempoh berkenaan, dan Pasukan Tindakan Kecemasan Projek MRT akan dikerahkan untuk membantu melancarkan aliran trafik.

“MGKT memohon maaf atas segala kesulitan sepanjang tempoh berkenaan,” kata kenyataan itu.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman seasawang MRT di www.mymrt.com.my atau www.mymrt-underground.com.my; Twitter @MRTMalaysia atau @MyMRTUnderground; Facebook @MRTMalaysia atau hubungi talian Hotline MRT 1-800-82-6868. – WD MY