KUALA LUMPUR, 10 Jan – Ditangguhkan……. Kesemua Kerja penyelenggaraan dalam Terowong Genting Sempah di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) akan ditangguhkan mulai 20 Januari hingga 13 Februari ini sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina dan Thaipusam.

Penangguhan itu selaras arahan kerja oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) yang tidak membenarkan kerja penyelenggaraan pada musim perayaan kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah berkata penangguhan seketika kerja dalam terowong itu bertujuan memberi ruang kepada pengguna pulang ke kampung, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan di lebuh raya.

“KKR dan ANIH Berhad selaku pemegang konsesi lebuh raya itu berpendapat kerja penyelenggaraan dalam Terowong Genting Sempah ini perlu dilakukan mengikut jadual ditetapkan, namun tetap mengambil kira kepentingan pengguna jalan raya.

“Dengan adanya jadual kerja ini, pengguna diharap lebih peka dan dapat merancang perjalanan khususnya pada musim cuti perayaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai, yakin dengan langkah diambil ANIH Berhad berhubung pengurusan trafik, sekali gus mengurangkan masalah kesesakan ketika pelaksanaan kerja berkenaan.

“Saya melihat ANIH Berhad mengambil kira pelbagai langkah yang perlu dalam pelaksanaan kerja terbabit, khususnya keselamatan dan jangkaan kesesakan pada cuti musim perayaan,” katanya. – WD MY