MELAKA, 22 Jun – Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata
kerjasama antara Thailand, Singapura, Indonesia dan Malaysia di Selat Melaka perlu diperluas
bagi mengekang ancaman lanun di kawasan perairan negara terlibat.

Menurut beliau, sebuah negara sahaja tidak akan dapat menjaga keselamatan
maritim dengan berkesan, sebaliknya ia memerlukan kerjasama erat antara negara
yang terlibat.

“Saya sempat berbincang dengan Menteri Pertahanan Indonesia Ryamizard
Ryacudu dan beliau secara dasarnya bersetuju (dengan cadangan perluas kerjasama
tersebut), kita akan bincang dengan negara lain selepas ini.

“Kita juga pertimbang negara ASEAN lain jadi pemerhati dalam kerjasama ini,
setakat hari ini Vietnam dan Myanmar setuju (jadi pemerhati). Mungkin kita
adakan mini sidang kemuncak untuk bincangkan cara atasi jenayah ini,” katanya
pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Dialog Belia Antarabangsa Melaka Ke-15
bertemakan Belia dan Konflik Bersenjata : Ekspresi Tanpa Takut, Maju Tanpa
Ancaman.

Kira-kira 200 belia dari 80 negara antaranya Amerika Syarikat, Sudan,
Bosnia, Jerman dan Malaysia menyertai persidangan selama tiga hari itu bermula
hari ini.

Sementara itu, Hishammuddin menafikan dakwaan media Indonesia bahawa
terdapat bot dan pesawat Malaysia memasuki perairan negara itu secara tidak sah
di Ambalat yang terletak di pantai timur kepulauan Borneo.

“Saya juga sempat bincang dengan Ryamizard berkenaan ini dan beliau setuju
supaya isu sebegini tidak disensasikan baik media dari Malaysia atau Indonesia
dan juga di media sosial,” katanya.

Beliau berkata hubungan baik yang terjalin antara Malaysia dan Indonesia
sejak sekian lama membuka jalan untuk mengatasi segala isu yang terjadi dengan
cara perbincangan.

Katanya semua pihak seharusnya tidak terpengaruh dengan rentak emosi dalam
menangani isu seperti itu.

“Ini cara kita di ASEAN (perbincangan dan tidak menurut rentak emosi)
daripada dulu lagi yang cukup berjaya membendung ketegangan antara negara,
selain itu saluran diplomasi antara kementerian luar negara terlibat perlu juga
diteruskan,” katanya.-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY