KUALA LUMPUR, 3 Feb – WUJUDKAN…… Pihak Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Negara Kemboja (BNK) akan mempertimbang mewujudkan pautan antara rangkaian mesin juruwang automatik (ATM) nasional di kedua-dua negara bagi memudahkan pengeluaran tunai ATM dan pembayaran runcit merentas sempadan yang cekap.

BNM berkata, kedua-dua bank pusat turut bersetuju untuk meningkatkan kerjasama mengenai penggunaan teknologi dalam rangkuman kewangan.

BNM dan BNK mengadakan mesyuarat dua hala di Siem Reap hari ini bagi membincangkan perkara yang membabitkan kepentingan bersama, termasuk kerjasama perbankan pusat serantau.

Mesyuarat itu diketuai bersama oleh Gabenor BNM, Tan Sri Muhammad Ibrahim dan Gabenor BNK, Chea Chanto.

BNM berkata, kedua-dua bank pusat itu membincangkan pelbagai isu kepentingan bersama, meliputi kemajuan dan pencapaian kerjasama teknikal dua hala, pembangunan ekonomi dan kewangan baru-baru ini, pembangunan dan pengawalseliaan teknologi kewangan (fintech), serta tadbir urus dan struktur bank pusat.

Katanya, dalam memanfaatkan momentum fintech, gabenor bank pusat tersebut mengesahkan komitmen mereka untuk menyokong pembangunan serantau dan penggunaannya dalam meningkatkan inovasi, kecekapan dan keberkesanan sektor perkhidmatan kewangan.

“Mesyuarat itu memperkukuhkan tradisi kerjasama yang telah lama wujud, susulan pemeteraian dua memorandum persefahaman antara bank pusat tersebut pada 2010.

“Susulan perjanjian itu, kedua-dua bank pusat terbabit dalam pelbagai kerjasama teknikal dalam bidang pembangunan modal insan dan penyeliaan perbankan merentas sempadan,” katanya.

Pada akhir mesyuarat itu, kedua-dua bank pusat itu sudah mengenal pasti bidang bagi kerjasama akan datang untuk meningkatkan lagi pembangunan sektor kewangan ke arah pertumbuhan ekonomi yang mampan bagi Malaysia dan Kemboja. – WD MY