ULAANBAATAR (MONGOLIA), 14 Julai – Kerjasama Ekonomi……. Ketibaan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membawa agenda untuk mengaktifkan semula tonggak ekonomi di bawah kerangka kerjasama ekonomi menerusi Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) Ke-11 kali ini.

Ia antara dua perkara utama yang akan disentuh oleh Ahmad Zahid yang mengetuai delegasi Malaysia pada sidang kemuncak dua tahun sekali itu yang berlangsung dua hari, mulai esok.

Timbalan Perdana Menteri turut akan mengutarakan dan berkongsi pengalaman dalam tiga isu utama tonggak politik di bawah kerangka kerjasama politik iaitu membanteras keganasan, migrasi dan pemerdagangan orang.

Ahmad Zahid berkata, sidang kemuncak yang menyambut ulang tahun ke-20 kali ini amat signifikan buat Kuala Lumpur khususnya sumbangan terhadap tiga isu di bawah tonggak politik dilalui Malaysia.

“Kita tidak berhasrat untuk mengungguli negara lain tetapi platform ini terbaik berkongsi usaha Malaysia yang berada di barisan hadapan dalam tiga isu berkenaan.

“Pada masa sama, kita akan menyatakan pendapat dalam usaha pengukuhan antara negara Asia dan Eropah apabila Britain keluar daripada Kesatuan Eropah (EU).

“Keputusan itu sedikit sebanyak memberi kesan terhadap hubungan tradisional Malaysia dengan negara itu terutama kita mempunyai pelaburan langsung (FDI) dalam hartanah.

“Kita juga berhasrat berhasrat melihat kerjasama lebih kukuh dalam isu keselamatan maritim, keganasan serta jenayah restas sempadan, bukan saja membabitkan negara di Asia Tenggara, malah Asia dan Eropah keseluruhannya,” katanya.

Sidang kemuncak itu disertai 53 rakan kongsi iaitu 21 negara Asia, 30 dari Eropah dan dua pertubuhan serantau iaitu Suruhanjaya Eropah dan Sekretariat ASEAN. – WD MY

LEAVE A REPLY