LANGKAWI, 31 Julai – Kerjasama Latihan……Seramai 250 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Laut Diraja Thailand, menyertai latihan bersama menerusi Seaex Thamal 61/2016 di perairan utara Semenanjung bermula dari Pulau Pangkor hingga ke Phuket, Thailand, selama lima hari bermula Selasa lalu.

Latihan turut disertai anggota Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama Polis Marin Diraja Thailand, membabitkan penggunaan lapan kapal perang dari kedua-dua negara.

Ketua Staf Markas Wilayah Laut (MAWILLA) 3, Kapten Roslee Mohamad Isa, berkata TLDM menggunakan dua kapal perang iaitu KD Pendekar dan KD Gempita.

Katanya, latihan dua tahun sekali itu berupaya meningkatkan kemahiran anggota keselamatan kedua-dua negara yang mempunyai hubungan erat dalam bidang ketenteraan.

“Ketika di laut, kita mengadakan siri latihan bagi membentuk persefahaman dalam usaha mengawal pengairan negara daripada pencerobohan.

“Latihan ini membolehkan anggota kedua-dua negara bertukar pengalaman dan kemahiran dalam usaha memantapkan perkhidmatan,” katanya pada sidang media selepas majlis penutupan latihan itu di MAWILLA 3 di sini, hari ini.

Majlis penutupan disempurnakan Panglima MAWILLA 3, Laksamana Rusli Ramli. – WD MY

LEAVE A REPLY