KUALA LUMPUR, FEB 27 :MALAYSIA…Malaysia dan China akan terus bekerjasama dengan melaksanakan pelbagai projek yang memanfaatkan kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, memberitahu dengan adanya hubungan dua hala ini telah membuahkan hasil dan memberi impak positif kepada kedua-dua negara.

Beliau berkata, jumlah dagangan Malaysia dan China kekal kukuh tahun lalu dengan berjumlah AS$96.3 bilion (RM376.4 bilion) meskipun berdepan ketidaktentuan dalam ekonomi global.

Perdana Menteri berkata, Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia berkeluasan 7.87 kilometer persegi hampir siap dan menarik 90 pelabur strategik utama membabitkan pelaburan 90 bilion renminbi (RM55.7 bilion).

Walaupun kadar penyertaan pelabur China lebih tinggi, jelasnya, sebanyak 49 peratus daripada penguasaan pembangunan utama taman berkenaan dipegang oleh konsortium Malaysia, yang dimiliki secara bersama oleh Rimbunan Hijau Group dan SP Setia Bhd.

“Saya dengan sukacitanya mengingatkan bahawa pengurusan taman berkenaan mewujudkan Kluster Malaysia dengan keluasan lima kilometer persegi untuk memenuhi keperluan khusus usahawan Malaysia, yang menyediakan insentif menarik dan kemudahan sokongan yang baik.

“Begitu juga,  Taman Perindusrian Kuantan Malaysia-China juga sudah berkembang dari kawasan awalnya pada pelancaran dan kini berjumlah kira-kira 1,200 hektar.

“Saya gembira untuk mengatakan bahawa salah satu peserta pertama, Alliance Steel, akan mula beroperasi pada suku kedua tahun ini, dengan pelaburan sebanyak RM5 bilion dan menyediakan 4,000 pekerjaan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Makan Tengah Hari Tahun Baru Lunar Kerjasama Dua Hala Malaysia-China anjuran Majlis Perniagaan Malaysia-China (MCBC) di sini, hari ini.

Najib yang juga Penaung MCBC berkata,  projek pembesaran Pelabuhan Kuantan Fasa 1, yang akan memperlihatkan peningkatan kapasiti dari 45,000 tan berat muatan (DWT) hingga 120,000, juga akan siap menjelang Jun 2018.

Beliau berkata, kerjasama bersama antara Malaysia dan China dalam mewujudkan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ),yang pertama di dunia di luar China adalah satu lagi projek menang-menang, dan Malaysia amat menghargai keyakinan yang ditunjukkan Alibaba Group di negara ini.

Katanya, zon itu sudah memberikan manfaat besar kepada lebih 2,000 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang sudah mendaftar setakat ini, dan 10,000 PKS disasarkan berada di platform itu menjelang akhir tahun ini.

Menurut Perdana, perkongsian PROTON Holdings Bhd dan Zhejiang Geely Holdings Group (Geely) adalah contoh lebih lanjut mengenai bagaimana firma dari kedua-dua negara boleh bersama-sama untuk mendapatkan keuntungan bersama.

“Saya yakin kita akan melihat banyak kereta yang mereka hasilkan di seluruh rantau ASEAN,” katanya.

Bukan itu sahaja, beliau berkata, pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang mana majlis pecah tanah diadakan pada Ogos tahun lalu, dilihat akan memberi impak ekonomi dan sosial yang besar ke pantai timur Semenanjung.

Ini seterusnya akan merangsang pelaburan, meningkatkan penyambungan dan merangsang aktiviti komersil di bandar sepanjang laluan. Malah membuka beribu-ribu peluang pekerjaan baharu. MY WD