KUALA LUMPUR, 18 Jun – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan
Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed optimis kerjasama antara Proton dan Suzuki
mampu memulihkan kembali syarikat automotif negara berkenaan.

Menurut beliau, Proton boleh belajar daripada pengalaman pengeluar kereta
Jepun berkenaan khususnya dalam pengeluaran kereta kompak.

“Suzuki mempunyai pengalaman di India. Mereka mempunyai penguasaan pasaran
terbesar di sana kerana mereka merupakan pengeluar kereta kompak yang popular di
negara itu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada
Sidang Kemuncak Perbankan Malaysia ke-19 di sini hari ini.

Beliau berkata Proton yang sebelum ini pernah membuat penyelidikan berkaitan
kereta kompak, boleh menggunakan kepakaran Suzuki dalam membangunkan model
tersebut.

“Kita harap dengan penyertaan Proton dalam segmen kereta kompak ini mampu
meningkatkan kembali prestasinya,” katanya.

Kerjasama Proton dengan rakan strategik asing juga, kata beliau, merupakan
antara perkara yang digariskan dalam Dasar Automotif Nasional yang diumumkan
pada Januari tahun lepas.- Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY