KOTA KINABALU, 19 Feb – KERTAS SIASATAN…. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah membuka kertas siasatan berhubung sindiket menjual MyKad palsu berikutan laporan mengenai ahli kumpulan pengganas dikesan memiliki dokumen itu, baru-baru ini.

Menurut Ahmad Zahid, siasatan dilakukan melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan polis.

Beliau berkata, JPN dan Jabatan Imigresen juga sudah mengambil langkah segera meningkatkan pemeriksaan terutama di semua pintu masuk dan keluar melalui udara.

“Saya sudah mengarahkan Ketua Pengarah Imigresen (Datuk Seri Mustafar Ali) untuk meletakkan anggota bagi melakukan imbasan secara rawak.

“Ini bagi mengesan sama ada kad pengenalan yang digunakan itu palsu atau tidak. Kita sudah ambil langkah ini lebih awal sebelum ini.

“Jadi kita sudah ambil langkah supaya pemegang kad pengenalan palsu tidak terlepas daripada JPN dan Imigresen,” katanya sambil menambah beberapa tangkapan turut dibuat berhubung kes itu.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat sempena lawatannya ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di Kepayan, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengulas laporan berita baru-baru ini bahawa elemen berisiko tinggi dapat meloloskan diri ke negara ini menggunakan kad pengenalan palsu.

Ia termasuk suspek pengganas dari Filipina yang masuk secara haram ke Sabah bagi mendapatkan dokumen sebelum ke Semenanjung dengan ada antaranya bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Menjawab soalan mengenai sindiket yang beroperasi dari Sabah, Ahmad Zahid berkata, pihaknya akan terus memantau situasi di seluruh negara walaupun tiada tangkapan di negeri lain.

Katanya, kedudukan Sabah yang dekat dengan negara jiran memudahkan sindiket beroperasi dari negeri ini.

Terdahulu, beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan segera untuk menaik taraf kemudahan berek atau tempat tinggal anggota polis di semua 20 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Sabah dan lima batalion Pasukan Gerakan Am (PGA), selain Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Dalam hal lain, Ahmad Zahid berkata pihaknya akan meneliti cadangan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) berhubung penubuhan Jabatan Keselamatan Aktiviti Air bagi menangani kes lemas. – WD MY